Tertekan Hutang Ah Long RM3000, Warga Emas Maut Minum Racun

Seorang warga emas meminum racun dalam kejadian di sebuah tanah rancangan di Gemas, dekat sini, Khamis lalu.

Lelaki berusia lewat 60-an itu meninggal dunia pada pukul 2.41 petang tadi ketika dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, rawatan mendapati pesakit meminum racun paraquat sebanyak 50 mililiter.

Polis menjalankan siasatan dan didapati mangsa minum racun kerana mengalami tekanan emosi akibat berhutang dengan ah long sebanyak RM3,000,” kata beliau semasa dihubungi semalam.

Menurut beliau, semasa siasatan, mangsa yang dirawat berada dalam keadaan stabil.

“Polis pada ketika itu tidak buka kertas siasatan di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana mangsa sedang berhadapan dengan beban psikologi atau tekanan yang dihadapinya,” katanya.

Anuwal berkata, berdasarkan keterangan, mangsa tidak pernah diugut oleh ah long namun tertekan dengan beban hutang yang banyak.

Menurutnya, mangsa juga sebelum ini sering dinasihatkan anaknya untuk tidak terjebak dengan meminjam ah long tetapi mangsa berdegil.

Bagaimanapun, katanya, malangnya mangsa meninggal dunia petang tadi akibat kegagalan organ berpunca minum racun.

*Sumber: UTUSAN / Gambar: Ibrahim Hamzah

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: