Tadika Swasta Tidak Dibenarkan Beroperasi Secara Bersemuka Dari 10 Mei – 6 Jun

Hari ini dimaklumkan bahawa semua tadika swasta tidak dibenarkan beroperasi secara bersemuka mulai 10 Mei hingga 6 Jun, selari dengan larangan rentas daerah.

Ini termasuklah kategori sekolah antarabangsa, sekolah ekspatriat, pusat tuisyen, pusat perkembangan dan pusat bahasa yang berdaftar dengan KPM.

Buat masa ini, tiada sebarang info terkini yang dimuatnaik di media sosial Kementerian Pendidikan Malaysia. Namun, ramai ibu bapa telah menerima notis daripada pihak tadika anak-anak mereka dan menurut sumber, panggilan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga telah dibuat untuk mendapatkan kepastian dan mesej itu adalah sahih.

Terkini, notis ini telah dikongsikan oleh Unit Pendidikan Swasta Jabatan Pendidikan Negeri Johor di Facebook.

Berikut dikongsikan notis terkini secara terperinci Kementerian Pendidikan Malaysia yang dikeluarkan pada 10 Mei 2021 hari ini.

MAKLUMAN TERKINI PENGOPERASIAN INSTITUSI PENDIDIKAN SWASTA DI SELURUH NEGARA

Selaras dengan Standard Operating Procedures (SOP) bagi kawasan PKP, PKPB dan PKPP yang dikeluarkan oleh MKN pada 9 Mei 2021, adalah dimaklumkan bahawa semua institusi pendidikan swasta (IPS) yang berdaftar dengan KPM iaitu:

(i) kategori sekolah termasuklah sekolah antarabangsa dan ekspatriat;
(ii) kategori pusat termasuklah pusat tuisyen, pusat perkembangan dan pusat bahasa; dan
(iii) tadika swasta

TIDAK DIBENARKAN beroperasi secara bersemuka bermula 10 Mei 2021 sehingga 6 Jun 2021.

IPS boleh melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) mengikut kaedah dan persediaan masing-masing sepanjang tempoh ini.

Walau bagaimanapun, murid yang sedang mengikuti peperiksaan antarabangsa seperti IGCSE, IBDP dan peperiksaan antarabangsa lain yang setara dibenarkan untuk menduduki peperiksaan di sekolah masing-masing berdasarkan jadual peperiksaan yang telah ditetapkan oleh badan peperiksaan antarabangsa masing-masing. SOP pergerakan murid untuk menduduki peperiksaan tersebut adalah seperti yang telah ditetapkan oleh KPM dan MKN.

Semua IPS hendaklah mematuhi arahan ini dan sentiasa mengikuti SOP yang telah ditetapkan oleh KPM, MKN dan KKM bagi memastikan usaha Kerajaan dalam mengawal penularan virus Covid-19 dapat dilaksanakan di semua peringkat.

Bahagian Pendidikan Swasta
Kementerian Pendidikan Malaysia
10 Mei 2021 | 8.00 a.m.

Sumber: Unit Pendidikan Swasta Jabatan Pendidikan Negeri Johor (https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=321960119346093&id=10271876460356)

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: