SOP Pembukaan Taska Ketat, Ibu Bapa Tak Perlu Bimbang
“Bagi meningkatkan keyakinan ibu bapa untuk menghantar semula anak-anak mereka ke taska, kerajaan akan memberikan geran kepada pengendali taska untuk mematuhi dan melaksanakan SOP yang ditetapkan. “
“Selain itu, e-Baucar akan disediakan untuk perkhidmatan pengasuh kanak-kanak yang ditempah dalam talian dan juga insentif cukai pendapatan individu untuk yuran yang dibayar kepada taman asuhan dan taman didikan kanak-kanak sehingga RM3,000.”
“Langkah ini akan dikawal selia oleh Kementerian Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat dan LHDN.”
Berikut kata-kata yang disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia sempena perutusan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada 5 Jun 2020.
Wabak pandemik COVID19 telah menjejaskan beberapa sektor, tidak terkecuali sektor pendidikan.
Hampir 3 bulan, taska dan tadika terpaksa ditutup kerana wabak yang menular ini.
Namun begitu, kerajaan berusaha keras dalam menangani mereka yang terjejas dengan memperkenalkan PELAN JANA SEMULA EKONOMI NEGARA atau secara ringkasnya PENJANA dengan tema “Bersama Menjana Ekonomi”.
Justeru, pihak taska yang terlibat dibenarkan beroperasi dengan mematuhi SOP ketat yang ditetapkan kerajaan.
Dengan itu, ibu bapa boleh bertugas dengan tenang dan tidak perlu risau.
Menurut pemilik Tadika Elitis Pintar, Puan Rohani Mat Ali ini, meski tadika beliau masih belum boleh beroperasi seperti taska, beliau tetap prihatin dan cakna dengan perkembangan semasa berkenaan pusat pendidikannya.
Antara perkara yang akan beliau lakukan jika tadika beliau di Kota Bahru dapat beroperasi seperti sedia kala adalah dengan hadam dan faham sepenuhnya apa yang diperlukan bagi memenuhi SOP yang ditetapkan pihak kerajaan.
Selain itu, katanya, perbincangan secara tiga hala bakal dilakukan; iaitu melibatkan pihak pemilik, guru dan ibu bapa.
Ini sebagai persediaan norma baharu yang bakal dipenuhi oleh semua pihak melalui perjanjian dan tandatangan pihak-pihak yang terlibat.
Tambahnya lagi, sesi online coaching akan dilaksanakan bagi memastikan ibu bapa faham dan dapat beri pendedahan awal kepada anak masing-masing sebelum tadika dibuka.
Menurut Cik Norhafizah Hashim pula, selaku pemilik taska Raudhatul Childcare Centre (RCC) yang berpusat di Machang, untuk pendidik dan pengasuh, perkara pertama yang terlibat di dalam pembukaan taska semasa PKPB berlangsung adalah pembersihan taska.
Semua peralatan perlu disanitasi untuk menerima kedatangan anak-anak setiap hari.
“Dari segi SOP untuk ibu bapa, mereka tidak boleh memasuki kawasan taska. Hanya drop anak dan terus pergi. Anak yang didapati demam dari rumah memang tidak boleh diterima untuk hadir ke taska.”
“Pendidik juga dikehendaki untuk melakukan saringan kesihatan di klinik terdekat bagi membuktikan keadaan kesihatan pendidik berada pada tahap yang baik untuk menjaga anak-anak”, ujarnya lagi.
Tambah beliau lagi, ibu bapa yang ingin menghantar kanak-kanak juga dikehendaki mengisi borang pengisytiharan kesihatan kanak-kanak. Ini adalah langkah keselamatan yang telah diwajibkan di dalam SOP.
Beliau yang komited dengan tugasnya sebagai pengusaha taska RCC akan sebaik mungkin mematuhi SOP yang ditetapkan memandangkan wabak pandemik COVID19 ini juga boleh membawa risiko kepada kanak-kanak.
Melalui langkah sanitasi yang dibuat serta penjarakkan sosial yang dilakukan, beliau berharap agar ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke RCC dapat bekerja dengan tenang.
Kebajikan anak-anak juga lebih terjamin sewaktu berada di taska.
“Cukup makan minumnya, juga dapat menceriakan emosi anak-anak apabila dapat berjumpa dengan rakan sebaya.” Tambahnya lagi.
Panduan bagi keselamatan warga taska ini telah mendapat kelulusan dari MKN dan KKM.
Bagi mengekang wabak ini dari terus menular, semua pihak perlu memainkan peranan.
#kitajagakita.