in

Subsidi Minyak Masak Tulen Dalam Botol Dimansuhkan Mulai 1 Julai

harga kawalan minyak masak
ADVERTISEMENT

TERKINI : Subsidi minyak masak sawit dalam kemasan botol 2kg, 3kg, 5kg dimansuhkan berkuat kuasa 1 Julai 2022

  • Subsidi minyak masak dalam polibeg diteruskan
  • Bantuan wang bersasar diberikan kepada golongan memerlukan susulan harga ayam dijangka naik bermula 1 Julai
  • Kawalan harga siling ayam dan telur ayam tidak diteruskan mulai 1 Julai

Putrajaya: Subsidi minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram (kg) dimansuhkan bermula 1 Julai ini.

ADVERTISEMENT

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan bekalan bahan makanan dalam pasaran akan lebih stabil dalam jangka masa yang panjang dan seterusnya menstabilkan harga barangan.

Beliau berkata, bagaimanapun subsidi bagi minyak masak paket 1kg masih diteruskan.

“Sebenarnya, program subsidi minyak masak tulen untuk botol ini hanyalah sementara, ketika pelaksanaan pada 2021 itu kita buat dalam tempoh tiga bulan sahaja iaitu Ogos, September dan Oktober.

“Bagaimanapun, ketika itu kerajaan berpendapat kita patut lanjutkan dan disebabkan itu ia dilaksanakan sehingga kini. Kini kerajaan merasakan tibalah masa untuk dimansuhkan supaya boleh memberi fokus bagaimana untuk membantu golongan yang memerlukan.

“Kerajaan boleh memberikan bantuan yang lebih bersasar; bagaimanapun, segala bentuk bantuan ini akan diperincikan oleh Kementerian Kewangan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Sesi Dialog bersama pihak industri mengenai isu harga dan bekalan di kementeriannya, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai sesi dialog itu, Alexander berkata, ia dianjurkan bagi memberi penerangan kepada pemain industri dan persatuan pengguna terhadap inflasi yang berlaku di negara ini.

Melalui sesi dialog berkenaan, terdapat pandangan dan cadangan yang diberikan antaranya untuk memperkasakan kesedaran pengguna dan mengubah cara hidup dalam menghadapi kenaikan harga.

Beliau berkata, turut diajukan adalah isu kekurangan pekerja dalam sektor perdagangan pengedaran yang semakin kritikal dan kos operasi.

Untuk makluman, harga kawalan runcit minyak masak yang dibotolkan adalah RM6.70 (1kg), RM12.70 (2 kg), RM18.70 (3kg) dan RM29.70 (5kg).

Sumber: Harian Metro

Written by badra

Leave a Reply

Your email address will not be published.

hadiah kahwin kawan

‘Hentikan Trend Hadiah Kahwin Tidak Bermaruah’

kemaskini bkm

Panduan Kemaskini Maklumat Bantuan Keluarga Malaysia (BKM)