Lelaki Viral Tunggang Motosikal Berbogel Rupanya Bunuh Isteri & Bayi

Seorang wanita dan bayinya yang baharu berusia dua bulan maut dipercayai dibunuh suaminya berusia 25 tahun di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru hari ini.

Mangsa berusia 26 tahun dan bayi ditemui berlumuran darah di hadapan pintu rumahnya oleh penduduk setempat.

Mayat mangsa dibawa anggota polis ke Hospital Sultanah Aminah bagi proses bedah siasat.

Saspek Merupakan Lelaki Viral Bawa Motosikal Berbogel

Menurut kenyataan media oleh Ketua Polis Johor Bahru Selatan, saspek berusia 24 tahun telah ditangkap dipercayai dalam keadaan berbogel menunggang motosikal seperti yang diviralkan di media sosial.

Lelaki warga tempatan berusia 24 tahun itu telah ditangkap oleh sepasukan polis dari bajagian Siasatan Jenayah IPD Johor Bahru Selatan dan turut dirampas sebilah pisau pemotong daging dan sebuah motosikal warna merah.

Bapa Terkedu Kerana Anak & Menantu Nampak Bahagia Selepas Berkahwin

Menurut portal Harian Metro, bapa kepada mangsa mengatakan bahawa anak dan menantunya itu dijadualkan bersanding 24 Julai ini memandangkan tidak dapat berbuat demikian selepas bernikah tahun lalu kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malah, katanya, persiapan untuk majlis bersanding itu juga sudah siap dan hanya menunggu hari bahagia itu.

Ketika ditanya mengenai hubungan anak dan menantunya itu, Rosman berkata, sejak berkahwin, pasangan itu hidup bahagia.

“Anak saya dan menantu memang anak yang baik. Mereka tiada masalah. Saya tidak pernah dengar mereka bergaduh.

“Cuma akhir-akhir ini, saya tahu menantu saya tiada pekerjaan tetap selepas berhenti kerja beberapa bulan lalu. Mungkin dia ada masalah tempat kerja.

“Dulu dia ada buat kerja pembersihan di stadium, lepas itu dia berhenti kerja. Kemudian saya dapat tahu dia hanya kerja sambilan mencuci kapal di Pasir Gudang dan bantu kerja-kerja penyediaan makanan,” katanya yang memaklumkan menantunya bukan seorang yang panas baran.

Sementara, isteri Rosman, Norazlina Hamdan, 50, berkata, mereka sekeluarga reda dengan apa yang sudah berlaku kerana menganggap menantunya juga anak yang baik

“Anak saya kalau ada masalah banyak cerita dengan adik-beradik dia saja, tetapi tidak ada pula dia mengadu ada masalah kewangan.

“Jadi saya tidak sangka perkara ini boleh berlaku kerana sudah kenal menantu lama dan mereka baik,” katanya pasrah.

Jenazah kedua-dua mangsa kini berada di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu di sini, esok.

Sumber gambar: Shaifuldin Ahmad | BERNAMA, Harian Metro

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: