Sistem Tol Tanpa Palang Bakal Diuji Di Malaysia

Setiap kali di waktu puncak dan cuti umum, jalan raya pasti sesak terutamanya di plaza tol disebabkan banyak kereta perlu beratur untuk melalui tol sistem tol berpalang yang digunakan di lebuhraya Malaysia.

Seperti Singapura, sistem tol berpalang ini bakal menyaksikan perubahan kepada sistem tol tanpa palang bagi melancarkan aliran trafik kenderaan di lebuhraya dan memajukan pemodenan infrastruktur Malaysia ke arah yang betul.

Syarikat Green Packet dan FETC International Co (FETCi) mengumumkan perancangan mereka untuk menguji dan membuktikan keberkesanan sistem tol tanpa palang di lebuhraya Malaysia.

FETCi adalah pakar RFID dan Free-Flow Tolling yang telah melaksanakan beberapa sistem tol tanpa palang di negara-negara Asia yang lain dan akan menyediakan peralatan dan kepakaran dalam pelaksanaan sistem ini.

Lebuhraya yang dipilih untuk dilakukan ujian konsep tol tanpa palang adalah di Besraya KM5.5 (Arah Utara).

Syarikat ini akan mengumpulkan data selama tiga bulan bermula awal 2022 dan akan dikongsikan bersama pihak berkuasa untuk membuktikan keberkesanan sistem berkenaan di lebuh raya Malaysia.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: