Nak Beli Kereta? Ini Senarai Kereta Resale Value Tinggi Di Malaysia Selepas 5 Tahun
Antara faktor yang dipertimbangkan bila nak beli kereta baru adalah Resale Value. Mestilah faktor lain seperti ruang, warna, jenama, populariti dan harga turut memainkan peranan penting dalam keputusan untuk membeli kereta baru.
Seluruh negara tahu yang kereta di Malaysia mahal. Kalau salah beli kereta, mungkin terpaksa pakai sampai ke tua. Terpaksa pula tambah duit sendiri bila nak jual atau trade-in lepas 5 tahun sebab baki loan lagi tinggi dari resale value.
Resale Value Ni, Macam Mana Ya?
Ia adalah nilai jualan semula kereta selepas satu tempoh tertentu. Kereta pula memang sejenis aset yang akan susut nilai apabila semakin lama dimiliki.
Biasanya kereta baru akan susut nilai 20% pada tahun pertama, lepas tu dia akan susut lagi 15% setiap tahun dari tahun ke-2 sehingga ke-10. Dah lebih dari 10 tahun, kereta hanya bernilai 10% dari harga yang dibeli mula-mula.
Ini adalah contoh pengiraan susut nilai kereta:-
Kereta Nissan Almera (Harga Baru) – RM 74,000.00
Selepas 1 tahun (anggar susut nilai 20%) – RM 59,200.00
Selepas 5 tahun (anggar susut nilai 15% setiap tahun) – RM 38,842.00
Nak pula jual kereta lepas 5 tahun, kononnya hendak merasa kereta baru pula, disini kirakan berapa pula hendak di ‘top-up’:
Beli bayar deposit – RM 5,000.00
Loan selama 9 tahun dengan kadar faedah 4%.
Selepas 5 tahun, lepas 5 tahun masih lagi berhutang – RM 41,707.00.
Jadi, hutang bank RM 41,707, tolak dengan harga kereta lepas 5 tahun, RM 38,842, kenalah ‘top-up’ RM 2,865 dengan duit sendiri bila nak tukar kereta baru.
Apa Faktor Yang Mempengaruhi Resale Value Ni?
1. Reputasi Jenama
Terdapat beberapa jenama kereta di Malaysia yang punyai reputasi bagus berbanding jenama lain. Contoh seperti Mercedes, Perodua, Honda dan Toyota reputasinya agak bagus dibandingkan dengan jenama lain seperti BMW, Proton, Nissan, Mazda, Hyundai, Peugeot dan lain lain.
2. Harga Minyak
Kereta yang jimat minyak sememangnya akan mempunyai resale value yang tinggi. Mestilar orang nak berjimat, tambah pula minyak selalu senang naik, susah nak turun.
3. Kos Dan Alat Ganti
Faktor pertama turut mempengaruhi faktor ini kerana sesetengah jenama mendapat reputasi tinggi bila kos dan kesediaan alat ganti lebih murah dan meluas di Malaysia. Macam Perodua lah, mana-mana bengkel ada alat ganti.
Kualiti servis di pusat servis selepas jualan jugak turut menjadi ukuran. Salah satu punca kenapa pengguna Perodua lebih digemari, ini kerana pengguna mempunyai pengalaman yang manis dengan servis selepas jualannya.
4. Populariti
Secara automatik, penggabungan faktor pertama hingga ketiga meningkatkan permintaan pelanggan terhadap jenama tersebut, sekaligus turut meningkatkan popularitinya. Itulah sebab Myvi lebih popular daripada Proton Iris kan?
Ini 5 Model Kereta Resale Value Tinggi Di Malaysia
1. Perodua Myvi
Tidak dapat disangkal lagi, Perodua Myvi memang paling laris di Malaysia sejak 2006 sehingga kini. Ini kereta terpopular yang kerap dijadikan kereta kedua sesebuah keluarga atau kereta pertama untuk orang baru bekerja.
2. Honda City
Honda City antara kereta paling popular di dalam kalangan jenama Honda di Malaysia. Ia merupakan kereta segmen B yang diminati kerana rupa, teknologi, penjimatan minyak dan saiznya, boleh kata berbaloi dengan harganya.
3. Toyota Vios
Siapa tak kenal kereta ni, pesaing utama Honda City dalam segmen yang sama berjenama import. Harga dan kelebihan hampir sama dengan Honda City, menjadikannya terpopular seperti varian TRD Sportivo keluarannya sendiri.
4. Honda Civic
Jom bandingkan antara kereta segmen C pula. Honda Civic berspesifikasi paling tinggi yang dilengkapi dengan powered driver seat, paddle shift, cruise control dan butang ‘push start’. Ini faktor yang menjadikannya sangat popular sehingga kini.
5. Toyota Corolla Altis
Kereta ini pesaing utama Honda Civic dalam segmen C, turut dilengkapi semua teknologi yang ditawarkan oleh pesaingnya. Ramai yang memuji persembahan gear CVT Toyota ini yang dikatakan lebih ‘smooth drive’.
Apa tunggu lagi, serang pusat jualan kereta sekarang! Lagi best bila kerajaan dah bagi ‘green light’ cukai jualan dimansuhkan 100%. Boleh rujuk disini.
**Nota Ringkas: Angka yang disiarkan adalah anggaran berdasarkan maklumat di Carsome. Segala mungkin berubah bergantung pada keadaan kereta dan faktor-faktor lain.