Nilai Ringgit Jatuh Ke Paras Terendah Berbanding Dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit menyusut nilai dan jatuh ke paras terendah baharu sepanjang masa berbanding dolar AS pada sesi pembukaan urus niaga pagi ini berikutan bacaan data Indeks Harga Pengguna (IHP) Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi daripada jangkaan dan ini memungkinkan peningkatan ketara dalam kadar faedah AS, kata seorang peniaga.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan susut kepada 4.6920/6965 berbanding dolar AS daripada penutupan Khamis 4.6910/6940.

Menurut laporan berita antarabangsa, IHP AS meningkat kepada 8.2 peratus pada bulan September berbanding unjuran 8.1 peratus.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata pakar meramalkan kadar faedah untuk mengakhiri tahun antara 4.5 peratus dan 4.75 peratus.

“Kadar faedah ialah pada 3.25 peratus sekarang dan masih terdapat dua lagi mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) pada November dan Disember, dengan kemungkinan peningkatan sebanyak 0.75 peratus pada bulan depan dan 0.74 peratus lagi pada Disember,” katanya dalam nota hari ini.

Ringgit jatuh

Dari sudut teknikal, beliau berkata dolar AS/ringgit kini pada bacaan 90.90 pada penunjuk Indeks Kekuatan Relatif, yang menandakan situasi terlebih beli yang ketara dan penembusan di bawah 4.6400 boleh memberi ruang kepada penurunan yang lebih penting pada masa hadapan.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit jatuh nilai berbanding pound Britain kepada 5.3052/3103 daripada 5.2291/2324 pada penutupan Khamis, susut berbanding euro kepada 4.5831/5875 daripada 4.5625/5654 dan lemah berbanding dolar Singapura menjadi 3.2963/2997 daripada 3.2726/2752 semalam.

Bagaimanapun, ringgit menambah nilai berbanding yen Jepun kepada 3.1843/1877 daripada 3.1957/1980 sebelumnya.

-BERNAMA

Baca juga: Harga Maksimum Ayam & Telur Berkuatkuasa 12 Oktober 2022

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: