Rina Harun Sedia Menghadap TMJ, Beri Kerjasama Untuk Kes Bella

Kes Bella yang pada awalnya agak sunyi kini mula mendapat perhatian media setelah orang ramai termasuk selebriti berani bersuara.

Terkini, YAM Che Puan Besar Khaleeda telah memuatnaik status di Instagram yang membuat ramai terharu:

Saya akan lakukan apa saja dengan kuasa yang saya ada bagi mendapatkan keadilan untuk Bella. Saya kecewa dan letih melihat si pengecut yang berfikir mereka boleh buat apa saja terhadap kanak-kanak teraniaya. Kamu boleh bersembunyi di sebalik tentera peguam tetapi karma akan hadir pada waktunya di dunia ini dan akhirat. “

TMJ juga telah membuat hantaran lanjut di media sosial berhubung kes Bella ini dan akan menawarkan peguam secara percuma bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.

Saya telah berhubung dan berbincang dengan peguam-peguam saya mengenai kes penderaan Bella. Kes ini sedang berjalan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan pihak pendakwaan kerajaan sudah memulakan perbicaraan terhadap OKT (orang kena tuduh) dalam kes ini.

Kes pendakwaan pada ketika ini melibatkan 2 pihak:

  • pendakwa raya kerajaan bagi pihak kerajaan/awam, dan
  • peguambela yang dilantik untuk mewakili tertuduh (OKT)

Saya akan menghubungi Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan menawarkan perkhidmatan peguam-peguam saya secara percuma untuk menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat untuk kes ini.
@UNICEF #ForEveryChild

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

Status tersebut dimuatnaik semalam, 16 April 2022 dan telah dibanjiri komen positif.

Membalas titipan berkenaan, Rina menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini memaklumkan KPWKM (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) akan mempersembahkan tindakan yang telah disusuli pihak kementerian dalam membantu perbicaraan kes itu.

Titah DYAM Tuanku yang berkenan menawarkan khidmat peguam secara percuma bagi menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi pihak KPWKM untuk kes ini amatlah bermakna buat pihak kementerian dalam memperkasakan usaha menegakkan keadilan buat adik Bella.

Kementerian menyambut baik pelawaan ini dan akan bekerjasama rapat dengan pihak peguam yang dititahkan oleh DYAM Tuanku. Menjunjung kasih DYAM Tuanku,” menurut hantaran itu.

Rina berkata beliau terharu atas keprihatinan dizahirkan oleh baginda berdua yang sama-sama mengikuti perkembangan kes perbicaraan berkenaan.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: