Amaran Ribut Petir Hingga 17 April, Orang Ramai Diminta Waspada – MET Malaysia
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi peringatan kepada orang ramai supaya lebih berwaspada berikutan cuaca buruk yang dijangka berterusan di ibu kota hingga Sabtu ini.
DBKL dalam kiriman di Facebook berkata, ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dari 11 hingga 17 April menunjukkan amaran ribut petir pada sebelah petang setiap hari di beberapa tempat.
“Warga kota dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca yang berlaku. Jika berlaku banjir kilat di kawasan anda, hubungi Bilik Gerakan DBKL di talian 03-40244424 untuk tindakan kecemasan,” katanya.
Mulai 14 April, dilaporkan beberapa laluan di sekitar ibu kota dinaiki air sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas akibat hujan lebat berterusan sejak jam 4.30 petang.
Antara laluan yang dinaiki air ialah Jalan Kuching di Taman Wahyu menghala bulatan Batu Caves; Jalan Cheras di Cheras Sentral ke bulatan Billion dan kedua-dua arah Jalan Maharajalela berhampiran Stesen Monorail Maharajalela dan Jalan Raja Chulan.
Dalam pada itu, DBKL turut melakukan kerja pembersihan segera di kawasan yang terjejas bagi mengelakkan gangguan lalu lintas dan kesulitan kepada orang awam.
Seterusnya pada 15 April, sebuah video ribut di Kuala Lumpur menjadi tular di media.
Selain itu, turut dilaporkan seorang penghantar GrabFood meninggal dunia akibat dihempap pokok dalam kejadian ribut.
Susulan itu, orang ramai diminta lebih berhati-hati dan bagi peniaga pula sebaiknya membuat persiapan sekiranya berlaku ribut petir.
*Sumber: Berita Harian, BERNAMA, DBKL