Qunut Nazilah: Panduan Membaca & Terjemahannya
Qunut Nazilah: Panduan Membaca & Terjemahannya | Anda pasti sering mendengar mengenai Qunut Nazilah lebih-lebih lagi ketika berita peperangan yang berlaku di Gaza semakin hangat diperkatakan di media sosial.
Bacaan Qunut Nazilah adalah salah satu ikhtiar yang boleh kita lakukan untuk saudara-saudara kita yang sedang dalam peperangan di sana selain menderma ke mana-mana tabung bantuan.
Anda boleh ketahui ebih lanjut mengenai panduan membaca Qunut Nazilah melalui perkongsian di bawah.
BACA JUGA: Doa Selepas Azan & Kelebihan Membacanya
Apa Itu Qunut Nazilah
Qunut pada asasnya adalah doa. Bacaan qunut terbahagi kepada dua; Qunut Ratibah & Qunut Nazilah.
Qunut ratibah; iaitu qunut yang disunatkan untuk membacanya pada dua tempat: semasa i’tidal di dalam rakaat yang kedua solat Subuh dan semasa i’tidal yang terakhir dalam solat sunat Witir bermula pertengahan bulan Ramadhan.
Qunut Nazilah pula adalah doa yang disunatkan untuk dibaca di dalam solat ketika berlaku sesuatu musibah atau bencana khususnya ketika ianya melibatkan orang muslim.
Dari segi bahasa, Nazilah bermaksud suatu keadaan yang gawat, mencemaskan dan terdesak. Manakala dari segi istilah pula, Nazilah bermaksud suatu keadaan yang menimpa ke atas umat Islam seperti adanya musuh, ketakutan, musim kemarau, wabak penyakit atau sesuatu yang memudaratkan menimpa umat Islam.
Sejarah Qunut Nazilah
Qunut Nazilah adalah doa yang diucapkan Rasullah apabila berlakunya satu peristiwa kepada 70 orang sahabat Nabi SAW yang dibunuh di telaga Ma’unah ketika mereka diutuskan oleh Baginda untuk menyampaikan dakwah.
Lalu Nabi membaca qunut dalam solat Subuh selama 30 hari iaitu sebulan. Peristiwa ini direkodkan oleh Anas Bin Malik R.A.
Beliau berkata :
أَنَّ رِعْلاً، وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ وَبَنِي لَحْيَانَ اسْتَمَدُّوا رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَلَى عَدُوٍّ، فَأَمَدَّهُمْ بِسَبْعِينَ مِنَ الأَنْصَارِ، كُنَّا نُسَمِّيهِمُ الْقُرَّاءَ فِي زَمَانِهِمْ، كَانُوا يَحْتَطِبُونَ بِالنَّهَارِ وَيُصَلُّونَ بِاللَّيْلِ، حَتَّى كَانُوا بِبِئْرِ مَعُونَةَ قَتَلُوهُمْ، وَغَدَرُوا بِهِمْ، فَبَلَغَ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم، فَقَنَتَ شَهْرًا يَدْعُو فِي الصُّبْحِ عَلَى أَحْيَاءٍ مِنْ أَحْيَاءِ الْعَرَبِ، عَلَى رِعْلٍ وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ وَبَنِي لَحْيَانَ.
Maksudnya :
“Kabilah Ri’lin, Zakwan, ‘Usayyah dan Bani Lahyan meminta bantuan Rasulullah SAW untuk menentang musuh. Lalu Baginda memberikan bantuan dengan mengutuskan 70 orang sahabat dari kalangan Ansar. Kami menamakan mereka sebagai Qurra’ (para qari) di zaman mereka. Mereka mengutip kayu api pada waktu siang hari dan sentiasa menunaikan solat pada waktu malam. Sehinggalah mereka tiba di telaga Ma’unah, kabilah-kabilah tersebut membunuh dan melakukan pengkhianatan terhadap mereka. Berita tersebut sampai kepada Nabi SAW. Lantas Nabi SAW melakukan qunut (doa) selama sebulan di mana Baginda berdoa kehancuran ke atas sebahagian kabilah arab di dalam solat subuh. Mereka itu ialah Ri’lin, Zakwan, ‘Usayyah dan Bani Lahyan.” – Riwayat Al-Bukhari (4090)
Panduan Membaca Doa Qunut Nazilah
Qunut nazilah disunatkan untuk dibaca secara jelas (Jahar )dan disunatkan untuk mengangkat tangan yang mana ianya dibaca pada rakaat terakhir setelah bangun daripada rukuk.
Qunut nazilah hanya dibaca pada di dalam solat fardhu. Ia dibaca pada rakaat terakhir selepas bangun dari Rukuk untuk Iktidal.
Ia boleh dibaca dengan salah satu cara berikut:
- Membaca Doa Qunut seperti yang biasa dibaca ketika solat Subuh.
- Membaca Doa Qunut Nazilah sahaja.
- Membaca Qunut Subuh diikuti dengan Qunut Nazilah.
Bacaan Doa Qunut Nazilah
اللهم إنا نجعلك فى نحور اعداءنا
Allahumma inna naj ‘aluka fi nuhuri ‘ada ina
و نعوذ بك من شرورهم
Wana’u dzubika min syururihim
اللهم بدد شملهم. و فرق جمعهم
Allahumma baddid syamlahum. Wafarriq jam ‘ahum
وشتت کلمتهم. و زلزل أقدامهم
Wasyattit kalimatahum. Wazalzil aqda mahum
وسلط عليهم کلبامنکلابك
Wasallitt ‘alaihim kalbam mingkila bik
يا قهار ياجبار يا منتقم يا الله يا الله يا الله
Ya qahhar ya jabbar ya muntaqimu ya allahu ya allahu ya allah
اللهم يا منزل الکتاب يا مجري السحاب
Allahumma ya munzilalkitab ya mujriyas saahab
يا هزم الأ حزاب اهزمهم وانصرنا عليهم
Ya hazimal ahzab ihzihum ihzihum ihzihum wansurna ‘alaihim
Maksud Doa Qunut Nazilah
Ya Allah, kami letakkan kamu di batang leher musuh-musuh kami,
dan kami berlindung denganmu dari kejahatan mereka,
Ya Allah hancurkan kumpulan mereka,
Ya Allah pecahkan pakatan mereka,
Ya Allah leburkan pendirian mereka,
Ya Allah musnahkan langkah mereka,
Cengkamkan anjing-anjingmu kepada mereka,
Ya Allah yang maha memaksa,
Ya Allah yang maha perkasa,
Ya Allah yang maha membalas,
Ya Allahu, Ya Allahu, Ya Allah,
Yang turunkan kitab,
yang gerakkan awan,
yang tewaskan tentera Ahzab,
Kalahkan mereka, kalahkan mereka, kalahkan mereka dan kemenangan untuk kami.
BACA JUGA: Panduan Membaca Doa Qunut Dalam Solat Witir (Selepas Selesai Terawih)
Penutup
Marilah kita bersama-sama membaca Doa Qunut Nazilah di rakaat terakhir solat fardhu buat saudara Islam kita di Palestin. Semogai kemenangan menjadi milik saudara kita di Palestin dan penderitaan mereka berakhir selamanya. Amin.