Panduan Membaca Doa Qunut Dalam Solat Witir (Selepas Selesai Terawih)
PANDUAN MEMBACA DOA QUNUT DALAM RAKAAT TERAKHIR SOLAT WITIR (SELEPAS TERAWIH)
Mulai malam ke-15 Ramadan, kita akan mula baca Doa Qunut setelah solat terawih iaitu dalam solat witir.
Dalilnya, terdapat hadith sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Hasan bin Ali RA di dalam Jami’ al-Tirmizi dan juga di dalam Sunan Abi Daud:
عَلَّمَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَلِمَاتٍ أَقُولُهُنَّ فِي الوِتْرِ: اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيمَنْ هَدَيْتَ… Maksudnya: Rasulullah SAW telah mengajarku beberapa perkataan untuk aku sebut di dalam witir: “Ya Allah Ya Tuhan kami! Kurniakanlah kepadaku petunjuk di kalangan mereka yang mendapat petunjuk-Mu…”. [Riwayat al-Tirmizi (464)]
Jadi jom kita baca dan fahamkan betul-betul panduan yang dikongsikan dalam panduan di bawah ini.
Hukum Doa Qunut Dalam Solat Witir Selepas Terawih
Di sisi Mazhab Syafie, hukum membaca doa Qunut dalam Solat Witir adalah sunat samada solat bersendirian atau berjemaah.
Doa Qunut ini sunat dibaca pada 15 malam yang terakhir.
Tempoh Baca Doa Qunut Selepas Terawih
Doa Qunut dibaca setelah bangkit dari rukuk rakaat terakhir Solat Witir.
Ia berbeza dengan doa khatam Al-Quran yang dibaca sebelum dari rukuk (iaitu sejurus selepas mengkhatamkan bacaan Al-Quran dalam solat).
Bacaan Doa Qunut Dalam Solat Witir
Doa Qunut yang paling baik ialah yang diambil dari sunnah.
Ini adalah bacaan bagi doa Qunut sebagaimana yang terdapat di dalam Sunan Abi Daud:
اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيمَنْ هَدَيْتَ، وَعَافِنِي فِيمَنْ عَافَيْتَ، وَتَوَلَّنِي فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ، وَبَارِكْ لِي فِيمَا أَعْطَيْتَ، وَقِنِي شَرَّ مَا قَضَيْتَ، إِنَّكَ تَقْضِي وَلَا يُقْضَى عَلَيْكَ، وَإِنَّهُ لَا يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ، وَلَا يَعِزُّ مَنْ عَادَيْتَ، تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ
Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan kami! Kurniakanlah kepadaku petunjuk di kalangan mereka yang mendapat petunjuk-Mu, sihatkan diriku di kalangan mereka yang Engkau berikan kesihatan. Tolonglah daku di kalangan mereka yang mendapat pertolongan-Mu. Berkatilah nikmat yang engkau kurniakan kepadaku. Peliharalah diriku daripada segala keburukan yang Engkau tentukan. Sesungguhnya Engkaulah penentu dan tiada sesiapa yang berkuasa ke atas-Mu. Sesungguhnya tidak akan hina orang yang Engkau muliakan dan tidak akan mulia orang yang Engkau musuhi. Wahai Tuhan kami, Engkaulah yang Maha Suci lagi yang Maha Tinggi”.
Boleh juga ditambah doa-doa lain jika berhajat tetapi mestilah melihat kondisi makmum agar doa yang panjang tidak akan membebankan makmum yang tua, sakit atau kanak-kanak.
Disunatkan kepada orang yang bersolat bersendirian atau imam jika mereka ingin memanjangkan bacaan doa qunut dengan membaca doa qunut Umar bin al-Khattab RA yang panjang dan kami nyatakan sebahagiannya dan doa ini juga terdapat di dalam kitab al-Azkar oleh Imam al-Nawawi RA:
اللَّهُمَّ إنَّا نَسْتَعِينُكَ وَنَسْتَغْفِرُكَ وَلاَ نَكْفُرُكَ، وَنُؤْمِنُ بِكَ وَنَخْلَعُ مَنْ يَفْجُرُكَ، اللَّهُمَّ إيَّاكَ نَعْبُد، ولَكَ نُصَلِّي وَنَسْجُد…
Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan kami, kami memohon pertolongan kepada-MU, kami memohon ampun kepada-Mu dan kami tidak mengkufuri-Mu, kami beriman dengan-Mu dan kami membenci sesiapa yang menderhakai-Mu. Ya Allah Ya Tuhan kami, hanya kepada-Mu kami sembah dan hanya untuk-Mu kami bersolat dan bersujud…”.
NOTA TAMBAHAN:
Jika tidak hafaz Doa Qunut dari sunnah tersebut, maka boleh juga dibaca apa-apa doa sekalipun. Itu pun sudah dikira berqunut.
Tetapi, jangan pula berdoa Qunut dalam Bahasa Melayu. Batal solatnya nanti.
Jika imam tidak membaca Doa Qunut samada terlupa atau sengaja, makmum tidak perlu menegur dari belakang (dengan berkata ‘Subhanallah’).
Tidak perlu Sujud Sahwi jika tidak membaca Doa Qunut dalam rakaat terakhir Solat Witir.
Jika tidak dibaca Doa Qunut, Solat Witir tetap sah. Cuma ianya tidak mengikut sunnah dan tiada pahala tambahan.
Setakat ni clear kan?
So, ibu-ibu, mak-mak dan isteri-isteri dah boleh share panduan ni kat bapak-bapak atau anak-anak lelaki yang akan jadi imam Solat Terawih dan Witir malam ni.
Semoga perkongsian ini bermanfaat.
Sumber rujukan: IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-200: QUNUT WITIR DI BULAN RAMADHAN