Hukum Membatalkan Puasa Sunat & Puasa Ganti Tanpa Keuzuran
HUKUM MEMBATALKAN PUASA SUNAT & PUASA GANTI TANPA KEUZURAN
Ramai yang berpuasa sunat 6 di bulan Syawal dan mengambil peluang ini untuk turut melaksanakan puasa ganti (qadha’).
Tapi, mungkin ada sesetengah hari yang kita rasa penat atau tak jadi nak berpuasa disebabkan alasan-alasan tertentu ; contohnya sebab ingin memenuhi undangan, melayan suami atau sengaja berubah niat tanpa ada sebarang keuzuran atau keperluan.
Hukum membatalkan puasa sunat dan puasa wajib (puasa ganti) adalah 2 perkara yang berbeza dan ia ada disebutkan di dalam dalil.
Hukum Membatalkan Puasa Sunat
Puasa sunat, kita boleh batalkan (tanpa sebab) saat kita sedang berpuasa, hal ini ada dinyatakan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Hani’ RA sabda Nabi SAW:
الصَّائِمُ الْمُتَطَوِّعُ أَمِينُ نَفْسِهِ إِنْ شَاءَ صَامَ وَإِنْ شَاءَ أَفْطَرَ
Maksudnya: Seseorang yang berpuasa sunat, jika dia mahu dia boleh teruskan berpuasa, dan jika mahu dia juga boleh berbuka.
– Hadis Riwayat Imam al- Tirmizi (32)
Menurut Mufti Wilayah, hukum batalkan puasa sunat adalah makruh sekiranya membatalkan puasa sunat dengan sengaja namun tidak diwajibkan mengqada’kannya. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 2/118
Baca juga: Doa Elak Wabak Penyakit, Dihindari Bala & Mudarat (Sumber JAKIM & Mufti)
Hukum Membatalkan Puasa Ganti (Qadha’)
Berbeza dengan puasa sunat, puasa qadha (ganti) kita tak boleh batalkan tanpa sebab.
Ini kerana puasa ganti adalah termasuk puasa wajib (seperti puasa Ramadhan, puasa nazar, puasa qadha, puasa kaffarah).
Hukum membatalkan puasa qadha’ adalah berdosa sekiranya tanpa uzur yang disyariatkan seperti haid dan musafir.
Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ummu hani’ RA :
يَا رَسُولَ اللَّهِ لَقَدْ أَفْطَرْتُ وَكُنْتُ صَائِمَةً . فَقَالَ لَهَا ” أَكُنْتِ تَقْضِينَ شَيْئًا ” . قَالَتْ لاَ . قَالَ ” فَلاَ يَضُرُّكِ إِنْ كَانَ تَطَوُّعًا ”
Maksudnya: “Wahai Rasullullah, sesungguhnya aku telah berbuka sedangkan aku berpuasa”. Maka Rasulullah SAW berkata kepadanya: “Adakah kamu sedang mengqada’kan sesuatu (puasa)”. Beliau berkata: “Tidak”. Sabda Rasulullah SAW: “Maka tidak memudaratkan (memberi dosa) kepadamu sekiranya ia adalah puasa sunat”
– Hadis Riwayat Abu Daud (2456)
Hal ini dibincangkan di dalam kitab kifayah al-akhyar menyatakan tidak boleh membatalkan puasa qada’ kerana telah memulai sesuatu perkara yang wajib. Oleh itu tidak boleh sengaja membatalkannya melainkan dengan keuzuran yang dibolehkan syarak. (Lihat: Kifayah al-Akhyar fi Hal Ghayatul al-Ikhtisar, 1/207)
Begitu juga Ibnu Qudamah di dalam kitabnya menyatakan: “Barang siapa memasuki di dalam sesuatu perkara yang wajib, seperti qada’ Ramadhan atau Nazar Mua’iyyin atau Mutlak atau Puasa Kaffarah, tidak harus baginya untuk keluar daripadanya (membatalkannya)”. (Lihat: Mughni li Ibnu Qudamah, 3/160)
APAKAH HUKUM MEMBATALKAN PUASA GANTI RAMADAN
Rujuk Sumber Asal :
https://bit.ly/34dJo2p
Album Infografik:
https://bit.ly/Albumi-Graphf
Hukum Membatalkan Puasa Ganti Untuk Bersama Suami
Muncul juga persoalan sama ada seseorang boleh dikenakan kaffarah sekiranya membatalkan puasa ganti untuk bersetubuh atau melayani suami pada bulan selain bulan Ramadan.
(NOTA: Puasa ganti termasuk puasa wajib selain puasa nazar atau puasa kerana kaffarah)
Contohnya jika isteri sedang berpuasa ganti namun suami mengajak bersama – maka hukum membatalkan puasa itu adalah berdosa, kerana qada’ puasa Ramadhan adalah perkara yang diwajibkan dan tidak boleh dengan sengaja membatalkannya melainkan dengan uzur syari’e. Wajib ke atas mereka yang membatalkan puasa qadha Ramadhan untuk mengulangi semula puasa ganti tersebut, bertaubat kepada Allah SWT dan berazam untuk tidak mengulangi kesalahan itu.
Namun dalam hal ini, bersetubuh ketika puasa selain di bulan ramadhan tidak dikenakan kaffarah. Ini kerana kaffarah puasa hanya dikhususkan di bulan Ramadhan.
Ini adalah mengikut pendapat jumhur serta Imam Nawawi, Ibnu Qudamah dan Ibnu Rusyd bahawa tidak wajib kaffarah bagi sesiapa yang sengaja membatalkan puasa selain dari puasa yang diwajibkan dibulan Ramadhan. Sama ada dengan makan dan minum atau dengan bersetubuh. (Lihat: al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 6/345. Al-Mughni li Ibnu Qudamah, 3/139. Bidayah al-Mujtahid, 2/69)
Baca juga: Niat Puasa 6 Syawal & Hukum Gabung Puasa Ganti (Qadha’) Serentak