Program Anak Kebanggaan Pahang: Saguhati RM200 Untuk Setiap Bayi
Setiap bayi yang dilahirkan di Pahang akan terima saguhati RM200 di bawah Program Anak Kebanggaan Pahang (Pahang Pride Kid).
Ia akan bermula tahun depan untuk simpanan dan pembelian barangan penjagaan bayi dan ibu ketika berpantang.
Berikut dikongsikan lebih lanjut tentang Program Anak Kebanggaan Pahang & inisiatif berkaitan yang diumumkan melalui Belanjawan 2022 Negeri Pahang.
Program Anak Kebanggaan Pahang (Pahang Pride Kid)
Setiap bayi yang dilahirkan di Pahang mulai tahun depan akan menerima saguhati RM200 di bawah Program Anak Kebanggaan Pahang.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM5 juta bagi menjayakan program itu.
Katanya, pemberian RM200 untuk setiap kelahiran itu adalah untuk simpanan dan barangan penjagaan bayi dan ibu ketika berpantang.
“Berdasarkan data Jabatan Perangkaan pada 2020, kelahiran bayi Pahang adalah 25,279 orang setahun.
“Oleh itu, keseluruhan peruntukan untuk program ini adalah sebanyak RM5 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2022 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang pada 6 Disember 2021.
Kad Pelajar Kebanggaan Pahang (Pahang Pride Student)
Wan Rosdy berkata, prihatin dengan rintihan ibu bapa yang bimbang dengan perbelanjaan dalam persediaan menghadapi sesi persekolahan baharu, kerajaan negeri akan memperkenalkan Kad Pelajar Kebanggaan Pahang.
Kad ini adalah inisiatif kerajaan negeri dengan kerjasama MBS Book & Stationeries yang akan memberi manfaat kepada 238,455 pelajar dari keluarga B40 dan M40 dalam negeri Pahang.
Kelayakan
Kad Pelajar ini akan diberikan kepada semua Ketua Isi Rumah (KIR) dari kumpulan B40 (pendapatan isi rumah kurang dari RM4,850) dan M40 (pendapatan isi rumah di antara RM4,851 hingga RM10,970) yang mempunyai anak yang masih bersekolah.
Kelebihan Kad Pelajar Kebanggaan Pahang
- Pemegang kad ini akan menikmati diskaun sebanyak 20 peratus ke atas setiap perbelanjaan keperluan persekolahan, termasuk buku, pakaian dan beg sekolah serta alat tulis terpilih.
Baca juga:
- Status MySejahtera Kuning Tak Boleh Masuk Kedai? Ini Cara Tukar Ke Biru
- Permohonan Bantuan Kanak-kanak JKM RM150, Maksimum RM1,000
Beliau berkata, tambahan daripada itu, bagi meringankan lagi beban ibu bapa dalam kategori golongan miskin, kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan tambah nilai sebanyak RM100 kepada setiap pelajar di bawah kategori keluarga miskin yang akan dikreditkan ke dalam kad diskaun Kebanggaan Pelajar Pahang.
“Selain menikmati potongan harga sebanyak 20 peratus, ibu bapa dalam kategori golongan miskin ini akan mendapat bantuan bagi membeli set bantuan persekolahan bernilai sebanyak RM100 yang akan lebih meringankan lagi beban mereka.
“Bagi maksud ini, kerajaan negeri bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM4.87 juta,” katanya.
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, sila rujuk saluran berikut:
- Laman web rasmi Kerajaan Pahang : https://www.pahang.gov.my/
- Telefon : 09-512 6600
- Facebook: Kerajaan Negeri Pahang