PKP Penuh Di Selangor: 5 Perkara Perlu Dipertimbangkan – MB Selangor

pkp penuh di selangor

KERAJAN Selangor tidak menolak pelaksanaan ‘lockdown’ atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di Selangor, sebagaimana yang dilaporkan sebelum ini.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan untuk menetapkan PKP penuh merupakan bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kerajaan Persekutuan.

Beliau menjelaskan bahawa kerajaan negeri tidak menolak pelaksanaan PKP penuh kerana nyawa rakyat menjadi keutamaan, pada masa sama mengambil kira tanggungjawab untuk memutuskan penularan jangkitan dan dan memastikan kebajikan rakyat.

Sehubungan itu, Amirudin meminta pertimbangan secara holistik kepada kehidupan, hilang pendapatan termasuk kesan kepada kesihatan mental, sekiranya PKP penuh dilaksanakan di Selangor.

“Kerajaan negeri akan menerima lockdown ini dengan harapan ia dilihat secara holistik dari segi memerhati dan melihat aspek kehidupan seperti kesihatan mental, keadaan sosial dan sebagainya yang kita pelajari dengan cukup besar daripada PKP yang pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media, petang Rabu, bagi mengulas mengenai Selangor yang dikhabarkan akan dikenakan PKP penuh berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19 di negeri itu sejak kebelakangan ini.

Sumber: RTM

Walaupun kerajaan Negeri tidak menolak pelaksanaan PKP penuh, namun Amirudin menggesa pelaksanaan tersebut turut mempertimbangkan inisiatif antaranya pemberian moratorium secara automatik, prosedur operasi standard (SOP) yang jelas, ujian saringan secara menyeluruh.

Tambah beliau, ini termasuk pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) yang cekap dan bantuan kewangan secara langsung kepada golongan B40, di mana kesemua pertimbangan tersebut amat penting bagi menjamin kelangsungan kehidupan rakyat.

blank

Pelaksanaan ‘lockdown’ yang diputuskan oleh MKN dan kerajaan Persekutuan boleh dilaksanakan di Selangor, dengan pertimbangan seperti berikut:

1. Moratorium automatik haruslah diberikan.

2. Pelaksanaan sistem pembelajaran di rumah yang cekap.

3. Bantuan kewangan secara langsung kepada B40.

4. SOP yang jelas dan tersusun serta pelaksanaan ‘exit plan’ yang tidak terburu-buru.

5. ‘Mass testing’ secara menyeluruh.

Terdahulu, dilaporkan kerajaan Selangor menolak pelaksanaan PKP penuh sekiranya diberikan pilihan oleh MKN dan kerajaan Persekutuan.

Sebaliknya, Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, kerajaan negeri beranggapan PKP perlu dilaksanakan secara bersasar melibatkan kawasan serangan kluster wabak Covid-19 sahaja sekiranya penguatkuasaan itu terlalu mendesak.

“Sekarang (apa yang penting) kita kena ‘defensive’ (bertahan) dan Selangor perlu tingkatkan vaksinasi bagi mengekang penyebaran dalam kalangan komuniti,” katanya ketika sidang media, pada Rabu.

*Sumber: Amirudin Shari , RTM & MStar Online