RapidKL Saran Penumpang Waktu Puncak Jalani Saringan Kesihatan
RAPID KL SARAN PENUMPANG JALANI SARINGAN KESIHATAN EKORAN PENGAKUAN AKAUN TWITTER
KUALA LUMPUR, 29 Mei – Rapid Rail Sdn. Bhd. – pengendali perkhidmatan LRT, MRT dan monorel Rapid KL – menyarankan para penumpang yang menaiki tren LRT Laluan Kelana Jaya dan MRT Laluan Kajang dari Wangsa Maju pada waktu puncak pagi semalam (28 Mei 2021) untuk membuat saringan kesihatan di pusat kesihatan terdekat jika terdapat gejala berkaitan dengan Covid-19.
“Saringan kesihatan juga disarankan untuk mereka yang menggunakan perkhidmatan LRT dari Taman Melati dan KLCC pada waktu puncak pagi pada 27 Mei lepas. Ini berikutan mesej di media sosial oleh dua penumpang, yang menyatakan mereka telah didapati positif Covid-19,” menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Rapid Rail hari ini.
Penumpang bernama Claudia Nuriman membuat ‘posting’ dalam akaun Twitter @claudianuriman menyatakan bahawa beliau menaiki tren LRT Wangsa Maju ke Pasar Seni dan seterusnya menyambung perjalanan menggunakan perkhidmatan MRT ke Stesen Semantan. Perjalanan beliau adalah antara 7.30 pagi hingga 8.30 pagi pada 28 Mei.
Pemilik akaun twitter Nurul Aisyah @asyxxi turut memberitahu bahawa beliau diuji positif Covid-19 dan menasihati para penumpang yang menaiki tren LRT dari Taman Melati ke KLCC pada pagi 27 Mei lepas segera menjalani ujian saringan. Perjalanan beliau adalah antara 8 pagi hingga 9 pagi.
“Rapid KL mengalu-alukan sikap terbuka kedua-dua penumpang berkenaan. Kami menasihati para penumpang untuk sentiasa mematuhi SOP ketika menggunakan perkhidmatan tren khususnya pemakaian pelitup muka dengan betul. Jika boleh, gunakan pelitup muka berganda (double face mask) untuk menjaga kesihatan masing-masing. Sentiasa berhemah ketika menaiki tren bagi mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19 seperti kurangkan bercakap, elakkan bersentuhan walaupun sesama rakan dan anggota keluarga serta jaga penjarakan fizikal anda sendiri.
“Semua tren Rapid KL disanitasi setiap malam untuk memastikan keselamatan dan keselesaan para penumpang kami. Sekiranya mempunyai tanda-tanda bergejala, elakkan menggunakan perkhidmatan tren dan meletakkan para penumpang lain dalam risiko,” tambah kenyataan itu.
Sumber: RapidKL