Tak Pakai Pelitup Muka: Polis Buka Kertas Siasatan Terhadap Pengerusi Prasarana
Polis buka kertas siasatan terhadap Pengerusi Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman selepas didapati tidak memakai pelitup muka semasa sidang media berkaitan kemalangan tren semalam.
Hal ini dimaklumkan oleh KPD Dang Wangi menerusi laporan terkini oleh BERNAMA TV.
Dalam sidang media tersebut, didapati beliau hanya memakai face shield dan tidak memakai face mask (pelitup muka).
Mengulas lanjut persoalan tentang pemakaian pelitup muka, dalam sebuah sidang media terdahulu Dato’ Sri Ismail Sabri – Menteri Kanan (Keselamatan) telah menegaskan bahawa ia adalah wajib.
Perkara ini telah termaktub di bawah Akta 342, berdasarkan pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Malah, mana-mana individu yang memakai niqab atau face shield, tetap wajib untuk turut memakai pelitup muka. Kegagalan berbuat demikian adalah merupakan suatu kesalahan di bawah perundangan negara apatah lagi ketika krisis kesihatan sedang berlaku.
Baca juga: Kemalangan LRT : 2 Tren Berlanggar Di Laluan Bawah Tanah KLCC
Dalam insiden LRT yang melibatkan 213 individu tersebut, Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya akan menyalurkan bantuan kewangan RM1,000 kepada setiap mangsa terlibat.
Beberapa bantuan lain akan disalurkan kepada mangsa yang dilaporkan mengalami kecederaan serius.
*Sumber: BERNAMA