Peniaga Letak Had Minima & Surcaj Pembelian Melalui Kad Kredit/Debit Boleh Dilaporkan
Pernahkah anda dikenakan extra caj apabila membuat pembelian melalui kad kredit atau kad debit? Atau, kadang-kadang kita ke sesetengah kedai, mereka menetapkan jumlah pembelian minimum untuk membayar dengan kad.
Menurut Bank Negara Malaysia, peniaga adalah dilarang dari mengenakan caj tambahan untuk pembayaran menggunakan kad debit dan kredit seperti yang dinyatakan di bawah Rangka Kerja Pembaharuan Kad Pembayaran yang diperkenalkan.
Selain itu, larangan bagi penggunaan kad kredit adalah sejajar dengan peraturan skim kad antarabangsa seperti Visa dan Mastercard.
Larangan terhadap caj pembayaran itu dipantau dan dikuatkuasa oleh bank yang menyediakan kemudahan e-pembayaran kepada peniaga.
Oleh itu, pengguna yang berdepan dengan situasi di mana peniaga mengenakan caj tambahan, dinasihatkan untuk membuat aduan kepada bank atau pengeluar kad pembayaran berkenaan.
Baca juga: Gaji Minimum 2021: Gaji Kurang RM1200/RM1100 Berhak Buat Aduan
Cara Membuat Aduan Ke Atas Peniaga Yang Mengenakan Surcaj atau Jumlah Minimum Pembelian Untuk Transaksi Kad Kredit / Debit
Untuk membuat aduan ke atas surcaj atau penetapan had minimum pembelian melalui kad kredit / debit, sila rujuk maklumat dalam gambar dan butiran di bawah ini.
Maklumat yang diperlukan :
- Butiran peribadi anda (cth. nama penuh, nombor KP, nombor telefon)
- Nama penuh peniaga;
- Alamat peniaga;
- Nama pemeroleh saudagar (merchant acquirer) – institusi yang menyediakan terminal pembayaran – yang boleh didapati pada bahagian atas slip transaksi kad pembayaran atau terminal kad pembayaran; dan
- Bukti bahawa peniaga mengenakan surcaj atau jumlah pembelian minimum (cth. resit transaksi yang terdapat jumlah surcaj, notis yang dipaparkan di outlet peniaga yang menunjukkan bahawa surcaj atau jumlah pembelian minimum akan dikenakan)
Langkah Membuat Aduan
Anda boleh membuat aduan kepada pemeroleh saudagar yang menyediakan kemudahan penerimaan kad pembayaran kepada peruncit atau, sebagai alternatif, kepada pengeluar kad pembayaran anda:
- Layari https://telelink.bnm.gov.my/ untuk mengakses borang dalam talian
- Pilih nama pemeroleh saudagar atau pengeluar kad pembayaran dalam senarai ‘Institusi’
- Isi borang dan berikan butiran aduan seperti yang dinyatakan di atas; dan
- Klik ‘Hantar’
Baca juga: Jenayah Orang Ketiga: Cara Buat Aduan ‘Perosak’ Rumah Tangga
NOTA PENTING
Tindakan membuat aduan akan memudahkan pemeroleh saudagar mengambil langkah yang sewajarnya untuk memastikan peniaga berhenti daripada mengenakan surcaj atau jumlah pembelian minimum bagi transaksi kad pembayaran, atau dengan menawarkan kaedah pembayaran elektronik lain tanpa mengenakan surcaj atau jumlah pembelian minimum.
Walau bagaimanapun, tindakan ini tidak menjamin bahawa pengadu akan menerima balik apa-apa surcaj yang telah dibayar kepada peniaga.
Orang ramai yang tidak mahu membayar surcaj atau mematuhi jumlah pembelian minimum yang dikenakan oleh peniaga adalah dinasihati supaya membeli barangan dan mendapatkan perkhidmatan daripada peniaga lain yang tidak mengenakan surcaj atau jumlah pembelian minimum.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Hubungan BNMTELELINK melalui talian 1300-88-5465 atau e-mel kepada [email protected].
*Sumber: Bank Negara Malaysia (BNM)