Sebak! Pemandu Ambulans Dapati Mangsa Nahas Adalah Anak Sendiri

blank

SETIU: Luluh hati seorang pemandu ambulans yang bergegas ke lokasi kemalangan, apabila mendapati mangsa yang mahu diambilnya adalah anak sendiri yang terbujur kaku di atas jalan raya selepas terbabit nahas di Kilometer 38, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu, petang semalam.

Mohd Taqwa Ismail, 49, yang bertugas sebagai pemandu ambulans di Klinik Kesihatan Sungai Tong, sama sekali tidak menyangka mangsa kemalangan itu adalah anaknya sendiri.

Dalam kejadian itu, Muhammad Aiman Mohd Taqwa, 21, yang juga kakitangan Unit Landskap Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu terbabit dalam nahas selepas motosikal ditunggangnya bertembung sebuah lori di lokasi kejadian, kira-kira jam 4.30 petang.

Taqwa berkata, dia mendapat panggilan meminta untuk mengambil mangsa kemalangan di lokasi kejadian untuk dihantar ke Hospital Setiu.

blank

“Namun apabila sampai di situ, saya seakan-akan mengenali motosikal itu dan apabila melihat nombor pendaftarannya, baru sedar rupanya anak sendiri menjadi mangsa kemalangan.

“Sejak saya bertugas menjadi pemandu ambulans kira-kira 21 tahun lalu, ini adalah pengalaman pertama terpaksa berdepan situasi membabitkan ahli keluarga sendiri.

“Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan sebak dan sedih saya ketika itu walaupun sebelum ini pernah mengambil mangsa kemalangan lagi serius tapi tidak terlalu beremosi seperti ini,” katanya di sini, hari ini.

Dia berkata, Aiman baru sahaja lima bulan bekerja di TTI dan kerap berulang-alik dari tempat kerja dan pulang ke rumah di Sungai Tong.

“Selalunya Aiman bawa bekal ke tempat kerja tetapi semalam dia berjanji mahu pulang untuk makan petang bersama saya di rumah.

“Kebetulan malam sebelum kejadian, saya sempat memasak ikan lampam goreng yang dibawa balik dari Tasik Kenyir dan dia sempat makan serta meminta lebihan ikan itu disimpan untuk dimakan keesokan harinya,” katanya.

Katanya, Aiman anak kedua daripada lima beradik hasil perkongsian hidup bersama isterinya, Zulnilawati Idris, 47, merupakan anak yang pendiam tetapi sangat disenangi ramai kerana pandai menyesuaikan diri.

“Arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Belara kira-kira jam 11.30 pagi tadi,” katanya.

blank
Sumber : Facebook Saya Bukhori II
blank

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan muka.

Katanya, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Tong di sini dari Kuala Nerus.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, Muhammad Aiman yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dikatakan cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya tetapi gagal.

“Lalu bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Afandi berkata, pemandu lori berusia 30 tahun yang dalam perjalanan ke Hulu Terengganu dari Kok Lanas, Kelantan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat Muhammad Aiman dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu di sini untuk dibedah siasat. Kes berkenaan disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sumber: BH Online