Itali Tidak Lagi Mewajibkan Pelitup Muka Mulai 28 Jun 2021
ROME: Pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan di Itali mulai 28 Jun 2021, kata Menteri Kesihatan negara tersebut, Robert Speranza, semalam.
Pemansuhan undang-undang tersebut akan berkuatkuasa di kawasan yang dilabel sebagai ‘zon putih’, iaitu sistem yang mengklasifikasikan kepantasan virus tersebut merebak.
Ini termasuklah kesemua wilayah di Itali kecuali Aosta Valley.
Pengumuman oleh Speranza ini dibuat setelah perbincangan dengan Panel Penasihat Saintifik, Comitato Tecnico Scientifico (CTS).
Walaubagaimanapun, orang ramai dinasihatkan agar masih membawa pelitup muka untuk dipakai di kawasan yang berisiko atau sesak seperti perhimpunan dan majlis.
Pada 28 Jun, pakar meramalkan kesemua wilayah di Itali akan diklasifikasikan sebagai ‘zon putih’ dengan rekod 21 kematian dan 495 kes baharu seluruh negara pada Isnin, 21 Jun 2021.
Ini merupakan perkembangan yang amat positif memandangkan negara tersebut adalah antara negara yang paling teruk terkesan dengan wabak COVID-19 dengan rekod terkini 127,291 kematian setakat ini.
Sehingga kini, 30 peratus rakyat negara tersebut yang berusia 12 tahun ke atas telah menerima vaksinasi, iaitu 16 juta penduduk daripada keseluruhan populasi 60 juta, yang mana telah melibatkan pemberian 46 juta dos vaksin.
*Sumber: AFP via NST