Pelajar Perempuan Hampir Diculik Di Hadapan Sekolah

JOHOR BAHRU: Seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun hampir menjadi mangsa culik yang berlaku di hadapan sebuah sekolah di Taman Molek, Johor Jaya, pada pagi semalam, 25 November 2021.

Dalam kejadian pukul 6.50 pagi itu, remaja terbabit dipercayai baru sahaja turun daripada van sekolah menuju ke sekolah sebelum didatangi seorang lelaki yang tidak dikenali menaiki kereta Perodua Kancil.

Lelaki tempatan tersebut didakwa  memanggil mangsa untuk meminta bantuan pelajar tingkatan satu terbabit untuk menghantar satu borang tidak pasti ke sekolah.

Suspek berkenaan bertindak menarik mangsa ke dalam kereta kompak itu setelah remaja itu enggan menuruti permintaannya untuk masuk ke dalam kereta berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa yang dibawa lari di sekitar Taman Molek berjaya melepaskan diri kira-kira 400 meter dari tempat kejadian. 

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak mengesahkan kejadian itu berlaku dan telah menerima laporan berhubung kejadian berkenaan yang tular dalam media sosial.

Baca juga: KPM Adakan Soal Selidik Benarkan Penggunaan Telefon Bimbit Di Sekolah

Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku selepas pelajar perempuan itu sedang berjalan kaki ke sekolah.

Katanya, selepas mangsa berjaya menyelamatkan diri keluar kereta dipandu suspek, dia kemudiannya telah meminta bantuan orang awam menyelamatkannya.

“Dalam kejadian ini, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan. Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk sedang giat mengesan suspek.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melarikan orang. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan juga dikenakan denda,” katanya. 

Sumber: UTUSAN ONLINE

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: