Ceroboh Asrama: 3 Pelajar Lelaki Ditahan Cuba Tanggal Seluar Pelajar Perempuan Ketika Tidur

ALOR SETAR: Seorang pelajar perempuan sebuah sekolah berasrama penuh di negeri ini membuat laporan polis mendakwa seluarnya ditarik oleh pelajar lelaki ketika sedang tidur di bilik asramanya, awal pagi Khamis lalu.

Sumber memaklumkan, kejadian itu didakwa berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi ketika pelajar perempuan tingkatan satu tersebut sedang tidur di lantai bilik asrama berkenaan.

Katanya, pelajar itu terkejut dan terjaga daripada tidur sebaik menyedari kejadian tersebut.

“Sebaik terjaga, pelajar perempuan itu mendakwa dia ternampak seorang lelaki tidak dikenali cuba bersembunyi di bawah katil berhampiran.

“Selain lelaki yang cuba menarik seluarnya itu, dia turut terlihat seorang lagi lelaki yang bersembunyi di tempat sama,” katanya.

Disebabkan mangsa menjerit atau membuat kecoh, lelaki tersebut yang merupakan pelajar tingkatan dua sekolah sama kelam-kabut dan berlari keluar dari bilik asrama tersebut. 

“Mereka bagaimanapun gagal melepaskan diri apabila ditahan warden yang kebetulan melakukan rondaan. Pemeriksaan lanjut mendapati tiga pelajar yang menceroboh asrama perempuan pada waktu itu,” katanya. 

Tambahnya, semua pelajar terbabit memberi alasan keberadaan mereka di asrama perempuan itu adalah untuk mengambil barang. 

“Alasan tersebut dirasakan tidak masuk akal dengan pelajar perempuan yang mendakwa ditarik seluarnya itu, telah tampil membuat laporan polis,” ujarnya. 

Difahamkan setakat ini pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes tersebut.

Sumber: UTUSAN

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: