in

Pekerja Restoran Dikurung, Dibayar Gaji Hanya RM10 Sehari

ADVERTISEMENT

Pekerja restoran dikurung, hanya terima gaji RM10 sehari

KLANG – Bukan sahaja hanya dibayar gaji RM10 sehari, malah mangsa juga akan dihukum potong gaji sekiranya mengambil makanan berlauk.

Itu nasib 22 pekerja restoran di Taman Chi Liung, di sini yang berjaya dibongkar sepasukan polis daripada Bahagian (D3) Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Pasukan Petugas Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO) Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ketua Penolong Pengarah D3 JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, serbuan Ops Pintas Bersepadu hasil maklumat dan risikan yang dijalankan pada Khamis itu bertindak menyerbu sebuah restoran dan dua asrama pekerja.

Menurutnya, tiga lelaki warga tempatan berusia 29 hingga 60 tahun iaitu majikan serta penjaga premis telah ditahan menerusi operasi kira-kira jam 12.45 tengah malam.

“Tangkapan dibuat untuk siasatan eksploitasi buruh paksa, gaji yang dibayar tidak seperti yang dijanjikan, kesemua pekerja dikurung di asrama dan menerima ugutan daripada majikan dan penjaga,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Fadil berkata, pihaknya juga telah berjaya menyelamatkan 22 pekerja warga asing berusia lingkungan 23 hingga 44 tahun terdiri daripada 11 wanita Indonesia dan 11 lelaki India.

Katanya, pihaknya turut merampas 40 pasport, dua telefon bimbit, sebuah kereta jenis BMW dan wang tunai dipercayai hasil perniagaan berjumlah RM3,858.

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan awal mendapati majikan gagal membayar gaji RM1,500 sebulan seperti yang dijanjikan, sebaliknya hanya membayar RM10 sehari sahaja, selain mangsa turut dikurung selepas waktu bekerja.

“Waktu bekerja juga panjang iaitu 12 jam dan tiada hari cuti. Mangsa juga tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit walaupun selepas waktu kerja dan kebenaran harus diperolehi oleh majikan sekiranya ingin menggunakan telefon.

“Mangsa (pekerja) akan diugut pukul jika cuba ingin melarikan diri selain makan yang dicatu, jika ambil makanan berlauk, gaji mereka akan ditolak,” katanya.

Tambahnya, malah tempat tinggal mangsa yang disediakan juga tidak mengikut piawaian Akta 446.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.

*Sumber: Sinar Harian via Jabatan Imegresen Malaysia

Written by badra

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pelajar IPT Dibenarkan Balik Raya Dari 7-12 Mei. Ini SOP Yang Ditetapkan

makanan tinggi potassium

Senarai Makanan Tinggi Potassium, Pesakit Buah Pinggang Kena Elakkan