Rasmi: Parlimen Dibubarkan

2 hari selepas pembentangan Bajet 2023, hari ini secara rasminya parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pembubaran itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri selepas mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

INTIPATI PERUTUSAN KHAS PERDANA MENTERI | 10 OKTOBER 2022

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan perutusan khas di Bangunan Putra Perdana , Putrajaya hari ini.

Dengan ini dimaklumkan, bahawa tengah hari semalam, PM telah menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menyembah warkah permintaan kepada Baginda, mengenai pembubaran Parlimen Ke-14.

Selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, telah bertindak menurut budi bicara Baginda dengan memperkenankan permintaan PM, supaya Parlimen Ke14 dibubarkan pada hari ini, Isnin 10 Oktober 2022.

PM mengesyorkan Ketua-ketua Kerajaan Negeri kecuali Kerajaan Negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya, bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tarikh yang sama dengan Pilihan Raya Umum Peringkat Parlimen, meskipun beberapa buah negeri telah memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing.

Ia wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban, selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos.

Penetapan tarikh-tarikh hari penamaan calon, dan hari mengundi serta urusan-urusan lain yang berkaitan, adalah tertakluk kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dengan pengumuman ini, mandat akan dipulangkan kepada rakyat. Mandat rakyat adalah penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan Kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15.

Proses ini berlandaskan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sebagai pasak pemerintahan, sejak negara mencapai kemerdekaan.

Pembubaran ini dilaksanakan bagi menoktahkan suarasuara yang selama ini meratib keabsahan Kerajaan, Kerajaan pintu belakang dan Kerajaan tebuk atap.

Semoga rakyat menggunakan kuasa yang ada pada mereka, untuk memilih kerajaan yang mampu meneruskan pelaksanaan Bajet Keluarga Malaysia 2023, mengekalkan kestabilan politik, memulih dan mengukuh ekonomi serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia yang berbilang agama, kaum dan etnik.

-PM Ismail Sabri

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: