Bayi Baru Lahir Ditemui Dalam Kotak Di Perhentian Bas

SERDANG: Bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan dan disyaki dibuang ditemui di dalam kotak di sebuah hentian bas berhadapan sebuah pangsapuri di Jalan SB Indah 2, Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisoner A A Anbalagan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki jam 9.25 pagi.

Sumber gambar: BERNAMA

“Siasatan awal dilakukan mendapati bayi lelaki itu di dalam sebuah kotak berwarna coklat di sebuah hentian bas berhadapan Pangsapuri Sungai Besi Indah, Seri Kembangan.

“Bayi lelaki itu dibawa ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, usaha mengesan saksi serta meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran lokasi kejadian sedang dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan,” katanya