Nanggala Dijangka Alami Keretakan Besar, Tapi Tidak Meletup
Jakarta: Pasukan mencari dan menyelamat berdepan kesukaran dan risiko tinggi untuk mengeluarkan kapal selam KRI Nanggala-402 kerana ia berada di kedalaman 850 meter.
Ketua Angkatan Laut (KSAL) Laksamana Yudo Margono berkata, pihaknya berusaha sedaya upaya untuk mencari kapal selam berkenaan dan menyelamatkan kru.
“Dalam kedalaman 850 meter, pasukan menyelamat berdepan cabaran besar. Risiko juga menanti untuk proses mengeluarkan kapal itu kelak,” katanya.
Katanya, TNI meminta bantuan beberapa negara lain seperti Australia, Singapura dan Amerika Syarikat dalam usaha menyelamat ini.
“Singapura mempunyai kapal yang berupaya mencapai kedalaman antara 900 hingga 1,000 meter. Kita akan pastikan ia ada bersama KRI Rigel dan jika ia terbukti KRI Nanggala, kita akan gunakan aset dari Singapura.
“Aset dari Australia juga disediakan untuk mengesan pergerakan di dasar laut,” katanya.
Menurutnya, KSAL juga mengubah status KRI Nanggala-402 daripada ‘submiss’ (kapal selam hilang) kepada ‘subsunk’ (kapal selam tenggelam).
“Ketika ini juga pasukan menyelamat sedang bersiap sedia untuk usaha mengeluarkan kru yang berkemungkinan selamat.
“Mereka yang selamat akan dibawa ke Surabaya atau Banyuwangi,” katanya.
Alami Keretakan Besar
Sementara itu, Panglima Angkatan Laut Tentera Nasional Indonesia (TNI), Hadi Tjahjanto menyatakan bahawa pihaknya yakin kapal selam KRI Nanggala-402 tidak meletup sebaliknya hanya mengalami keretakan dan tenggelam ke dasar laut.
“Ia tidak meledak (meletup). Jika meledak sudah pasti hancur semuanya dan bunyi letupan pasti kedengaran dan dapat dikesan oleh sonar.
“Mungkin ia berdepan masalah keretakan,” katanya dalam sidang media hari ini.
Ketua Angkatan Laut (KSAL) Laksamana Yudo Margono berkata, pasukan mencari dan menyelamat masih belum dapat memastikan keadaan kru kapal berkenaan.
“Setakat ini, mereka hanya berjaya menjumpai serpihan dan beberapa barangan dipercayai dari kapal itu.
“Setakat ini, kita juga tidak boleh memastikan berapa jumlah mereka yang terkorban kerana belum bertemu walau satu mangsa pun,” katanya.
Dalam sidang media sama, Yudo menjelaskan bahawa terdapat bahagian dalam KRI Nanggala-402 yang kedap udara dan tak akan dimasuki air, walaupun berlaku keretakan dalam kapal itu.
Beliau meletakkan harapan tinggi agar kru sempat sempat menutup bahagian itu dan berjaya bertahan hingga saat ini walaupun kapal selam itu masih belum ditemukan.
“Ada kemungkinan kapal itu sudah dimasuki air namun, ada bahagian dalam kabin selamat daripada dimasuki air.”
Bukti keretakan diperkuat dengan adanya sejumlah kepingan dan barang milik KRI Nanggala yang naik ke permukaan.
*Sumber: Harian Metro / Tribun News