Lima rentung: Pemandu treler miliki 9 rekod kesalahan JPJ

KUALA KANGSAR, 13 MEI: Pemandu treler membawa muatan besi yang ditahan berhubung kemalangan melibatkan lima mangsa rentung di Lebuhraya Utara Selatan Rabu lepas, mempunyai sembilan rekod kesalahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ibu Pejabat JPJ dalam kenyataan hari ini berkata hasil semakan dalam sistem mySIKAP JPJ mendapati rekod kesalahan itu, dengan 12 mata demerit di bawah Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA), akan memberi kesan kepada penggantungan atau pembatalan lesen memandu.

Menurut kenyataan itu, siasatan di bawah audit Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sedang dilaksanakan untuk menentukan tindakan undang-undang yang boleh diambil.

“Sekiranya hasil siasatan daripada ICOP mendapati pemandu dan pengendali gagal mematuhi syarat dan permit perkhidmatan oleh APAD dan JPJ, permit dan lesen pengendali boleh digantung atau dibatalkan berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

“Tindakan penggantungan lesen memandu boleh diambil oleh JPJ berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sekiranya pemandu dituduh di mahkamah,” menurut kenyataan itu.

Siasatan polis juga akan menentukan sabitan kesalahan terhadap pemandu terbabit di bawah Seksyen 41(1) Akta 333 APJ, selain hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh yang ditentukan mahkamah, menurut kenyataan itu.

“JPJ memandang serius insiden yang berlaku dan tidak akan berkompromi dengan sebarang ketidakpatuhan mana-mana pengendali kenderaan perdagangan di negara ini,” menurut kenyataan itu.

Polis menahan reman pemandu treler berusia 28 tahun terbabit selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan berhubung kemalangan maut di KM 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara itu.

Dalam kejadian melibatkan dua buah treler itu, lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) terdiri daripada Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22 (pemandu), Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, Iqbal Hasnun Halimi, 23, yang juga rakan serumah, rentung selepas kereta dinaiki mereka terbakar.

Siasatan awal mendapati kereta jenis Honda City yang dinaiki kelima-lima pelajar itu sedang mengekori di belakang treler muatan mozek yang memandu di lorong kanan susulan lorong kiri ditutup bagi penyelenggaraan jalan, apabila sebuah lagi treler muatan besi merempuh bahagian belakang kereta mereka.

Treler itu kemudian menyeret kenderaan itu ke hadapan sehingga melanggar bahagian belakang treler muatan mozek berkenaan, menyebabkan kelima-lima mangsa tersepit dan tidak sempat menyelamatkan diri.

BERNAMA, 13 Mei 2022

blank

Makan malam terakhir lima sahabat

KUALA KANGSAR: Makan malam terakhir lima sahabat merupakan status terakhir dimuat naik di aplikasi WhatsApp oleh seorang daripada lima mangsa rentung dalam kemalangan di Kilometer 245.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini, tengah malam tadi.

Video yang dimuat naik pada pukul 8.11 malam oleh Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, itu dirakam di restoran makanan popular Korea di sebuah pusat membeli-belah di Ipoh.

Difahamkan, lima sekawan itu dalam perjalanan pulang dari Ipoh ke rumah sewa mereka di Taman Chandan Puteri di sini.
Kesemua mereka sebelum itu sempat meluangkan masa dengan berkunjung ke Gerbang Malam dan Bulatan Sultan Azlan Shah di Ipoh untuk riadah.

Dalam kejadian sekitar pukul 12.52 tengah malam itu, Muhammad Nasrun rentung bersama empat rakannya, Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20.

Kejadian itu berlaku ekoran kereta Honda City dinaiki kesemua mangsa terbakar setelah terlibat dalam kemalangan dengan dua treler muatan mozek dan besi pagar.

Difahamkan kereta dinaiki mangsa merupakan kereta sewa.

Menurut rakan Muhammad Nasrun, Muhamad Hakimi Rosli, 22, dia mengetahui kejadian berkenaan setelah dimaklumkan seorang rakan dan segera datang ke Unit Kecemasan Hospital Kuala Kangsar bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian.

Katanya, ketika tiba di hospital, dia masih tidak mengetahui keadaan sebenar rakan-rakannya itu namun berharap kesemua mereka selamat.

“Saya dan rakan-rakan segera datang ke sini namun doktor memaklumkan yang Muhammad Nasrun dan empat yang lain masih belum sampai.

“Ketika itu, kami memang menaruh harapan supaya semuanya selamat. Bagaimanapun, ambulans yang tiba tidak lama kemudian memaklumkan kesemua mereka rentung,” katanya.

Menurut Muhamad Hakimi, kelima-lima mangsa tinggal bersama di sebuah rumah sewa berhampiran universiti dan sering dilihat menghabiskan masa bersama melakukan pelbagai aktiviti.

“Walaupun tidak tinggal serumah, saya selalu juga meluangkan masa bersama mereka. Mereka merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda dan Diploma berlainan kursus.
“Saya lebih rapat dengan Muhammad Nasrun dan Iqbal Hasnun berbanding yang lain. Kedua-dua mereka rakan yang baik dan tidak lokek menolong rakan-rakan,” katanya.

Muhammad Nasrun dari Kuala Kubu Bharu, Selangor merupakan pelajar semester ketiga Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam; Ahmad Naim Najmi dari Terengganu pula pelajar semester satu Ijazah Sarjana Muda Kaunseling dan Iqbal Hasnun dari Johor merupakan pelajar semester ketiga Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam.

Muhammad Nabil Haikal dari Batu Caves, Selangor pula merupakan pelajar semester ketiga Diploma Pentadbiran Perniagaan dan Ahmad Akmal dari Parit Buntar pelajar semester kelima Diploma Kaunseling Islami.

UTUSAN, 12 Mei 2022