in

Muhyiddin Dilantik Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Bertaraf Menteri

ADVERTISEMENT

KENYATAAN MEDIA

Alhamdulillah, saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Jemaah Menteri, khususnya Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, atas pelantikan saya sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf Menteri.

ADVERTISEMENT

Saya juga menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang telah memperkenankan pelantikan saya.

Saya berbesar hati menerima pelantikan ini dan akan menjalankan tugas secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan.

Kepercayaan yang telah diberikan oleh Kerajaan ini merupakan suatu amanah untuk saya meneruskan segala usaha dan perancangan yang telah dimulakan sebelum ini untuk memulihkan negara daripada kesan wabak COVID-19.

Saya dan anggota Majlis Pemulihan Negara akan berperanan membantu YAB Perdana Menteri dan Kerajaan pimpinan beliau membawa Malaysia melalui fasa-fasa pemulihan sepertimana yang telah digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara.

Ini termasuk menyokong pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, memudah cara pembukaan sektor-sektor ekonomi, sosial, pendidikan dan keagamaan serta mewujudkan kesedaran masyarakat terhadap pematuhan kepada norma baharu kehidupan selaras dengan peralihan pengurusan COVID-19 yang akan memasuki fasa endemik.

Insya-Allah, saya akan memanfaatkan segala pengalaman yang ada dan mengharapkan sokongan semua pihak dalam semangat Keluarga Malaysia bagi memastikan matlamat melindungi nyawa, menjamin kelangsungan hidup dan memulihkan negara akan mencapai kejayaan.

TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
Mantan Perdana Menteri
4 September 2021

Written by badra

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Guru Yang Enggan Divaksin Tidak Dibenarkan Mengajar Pelajar- Radzi

Ini Cara Buka Dokumen Dan Gambar Di Google Drive Tanpa Capaian Internet