Mata Malas / ‘Lazy Eye’ Pada Kanak-kanak: Simptom, Punca & Rawatan

MATA MALAS / LAZY EYE / AMBLYOPIA

Kanak-kanak zaman sekarang memang tak kekok menggunakan gajet untuk mengisi masa lapang di rumah.

Sejak pelaksanaan PdPR juga, anak-anak dah makin biasa menghadap laptop untuk belajar.

Tanpa disedari, ini boleh mengakibatkan kemerosotan penglihatan anak-anak.

Ramai yang salah sangka ‘mata malas’ dengan ‘mata juling’ kerana dari luaran ia agak serupa, namun kedua-dua ini adalah dua perkara yang berbeza.

Mungkin ada ibu bapa yang tidak dapat membezakan antara mata malas dan juling yang menyebabkan mereka tidak membawa anak mendapatkan rawatan.

Di sini kami kongsikan lebih lanjut tentang mata malas atau ‘lazy eye’ yang kerap berlaku pada kanak-kanak.

Apakah Mata Malas @ Lazy Eye?

Penyakit mata malas atau ambliopia / amblyopia ialah penglihatan yang merosot pada mata yang tidak menerima rangsangan pada peringkat awal kanak-kanak.

Biasanya ia hanya mempengaruhi satu mata, lalu menyebabkan anak dapat melihat dengan lebih jelas dan lebih bergantung pada mata yang “baik”. (Sebab itulah salah satu mata lagi digelar ‘mata malas’.)

Situasi ini akan menyebabkan sebelah mata menjadi dominan dan sebelah lagi akan melihat dengan imej kabur.

Jika masalah ini tidak dirawat, penglihatan mata yang bermasalah dikhuatiri
akan lemah dan tidak dapat digunakan lagi.

Menurut data dari NHS, dianggarkan bahawa 1 dari 50 kanak-kanak mengalami mata malas.

Pakar Perunding Oftalmologi dan Pediatrik Oftalmologi, Dr Fiona Chew Lee Min pula berkata, peratusan mata malas di Malaysia adalah sekitar 2.9 ke 9.4%.

mata malas

Petanda / Simptom Mata Malas

Kebanyakan masa, penyakit mata malas ini sukar dikenalpasti kerana kanak-kanak masih dapat melihat dengan baik dengan sebelah mata.

Bagi kanak-kanak yang lebih kecil pula, kebanyakan mereka menganggap ia adalah penglihatan normal. Dan jika mereka merasakan ada sesuatu yang tidak kena pun, mungkin susah bagi mereka untuk menerangkannya kepada ibu bapa.

Maka, ibu bapa perlulah berperanan lebih aktif dan peka terhadap masalah ini.

Antara simptom atau tanda mata malas yang boleh dikenalpasti adalah:

  • Juling – di mana mata yang lemah melihat ke dalam, ke luar ke atas atau ke bawah manakala satu lagi mata yang sihat akan melihat ke hadapan.
  • Tidak suka mata yang ‘elok’ ditutup
  • Tidak kisah jika mata yang ‘malas’ ditutup
  • Lebih sukar membaca huruf dalam barisan berbanding dengan huruf yang ditayangkan berasingan
mata malas ambliopia

Punca Ambliopia

Ambliopia terjadi akibat kedua-dua mata tidak dapat fokus pada masa yang sama secara serentak.

Antara punca utama ambliopia ialah masalah mata lain seperti :

i) Juling Sebelah Mata yang Kekal

Mata yang juling dapat dilihat apabila satu mata memandang ke depan, dan sebelah mata lagi melihat ke arah lain.

Ini akan menyebabkan seseorang akan mempunyai dua penglihatan yang
berbeza.

Otak akan cederung untuk memilih untuk melihat dengan mata yang baik sahaja
sementara mata yang terabai akan lama-kelamaan menjadi kabur sehingga menyebabkan ambliopia.

ii) Rabun (Anisometropia)

Walaupun rabun boleh diwarisi oleh ibu bapa, penggunaan gadget pada waktu yang lama juga boleh membuatkan otot mata tegang dan letih. Ini boleh mengakibatkan masalah mata rabun terutamanya rabun jauh (myopia).

Anisometropia pula ialah perbezaan rabun yang tinggi antara kedua-dua mata. Mata yang rabun akan menghasilkan penglihatan yang kabur.

Jika masalah ini tidak dirawat pada peringkat awal, ia akan menyebabkan ambliopia.

iii) Fizikal Mata yang Menghalang Penglihatan

Tisu atau struktur mata yang tidak normal juga boleh mengakibatkan ambliopia.

Antara struktur mata bermasalah seperti kelopak mata yang kuyu (ptosis), parut pada kornea akibat kecacatan semasa lahir atau kecederaan dan katarak (kanta mata berselaput).

Masalah fizikal ini akan mengakibatkan informasi yang diterima dari mata terhalang untuk sampai ke otak dan seterusnya mengakibatkan penglihatan menjadi kabur.

Mata yang kabur akan diabaikan oleh otak dan mata yang baik akan digunakan untuk melihat sehingga mengakibatkan ambliopia jika rawatan tidak dilakukan.

mata malas punca

Rawatan ‘Lazy Eye’

Rawatan untuk masalah ambliopia lebih efektif jika ia dikesan seawal usia kanak-kanak.

Menurut Medical News Today, peratusan keberkesanan rawatan akan berkurang selepas usia 8 tahun, walaupun masih efektif.

Sebelum merawat mata malas, doktor akan mengenalpasti punca penyakit dahulu.

Antara rawatan yang biasa diberikan ialah membetulkan mata yang juling, penggunaan cermin mata bagi memulihkan fokus pada mata yang kabur dan pembedahan bagi membetulkan otot mata supaya lebih fokus.

Kemudian, rawatan diteruskan dengan melatih mata yang kabur dengan
menutup mata yang baik dan melihat hanya dengan mata yang lemah.

Dengan cara ini, mata yang lemah dapat dipaksa untuk berfungsi bagi memulihkan penglihatan.

Tips Mengelakkan Mata Malas

Jalankan Ujian Mata Secara Berkala

Pernahkah anda membawa anak menjalani ujian mata?

Menurut pakar mata, kebanyakan kanak-kanak sudah mula menghidap masalah mata seawal umur 3 ke 4 tahun.

Memandangkan penyakit ini sukar dikesan oleh ibu bapa mahupun anak sendiri,
pemeriksaan mata berkala setahun sekali adalah penting supaya penyakit dapat dikenalpasti pada peringkat awal.

Penyakit ini sebaiknya dikenalpasti sebelum kanak-kanak berusia 7 tahun
supaya rawatan awal dapat diberikan.

Kawal Screentime Anak-Anak

Penggunaan gadget atau membaca buku terlalu lama boleh membuatkan mata letih dan rabun.

Tabiat ini juga akan membuatkan mata cepat kering kerana mata akan kurang berkelip jika dibiarkan melihat skrin pada jangka masa lama.

Bagi memastikan kesihatan mata anak, waktu penggunaan gadget perlu dikawal supaya mata mendapat rehat yang cukup.

Screentime yang terlalu lama juga akan memberi kesan kepada kualiti tidur anak.

Cahaya dari skrin gadget adalah sangat tidak baik terutamanya pada waktu malam kerana otak akan memberi tindak balas kepada badan untuk tetap berjaga sehingga boleh mengganggu waktu tidur.

Baca juga: Apakah ‘Trigger Finger’? Ini 6 Perkara Perlu Tahu Bila Jari ‘Jammed’!

Amalkan Penjagaan Mata Yang Baik

Menurut Portal HyHealth, berikut adalah tip-tip penjagaan kesihatan mata yang perlu diamalkan.

  • Jarak membaca
    • Pastikan membaca pada jarak antara 30 hingga 40cm dari buku ke mata. Jarak yang terlalu dekat akan menyebabkan otot-otot mata menegang untuk memfokus. Hal ini boleh mengakibatkan sakit kepala.
  • Posisi badan ketika membaca
    • Posisi badan hendaklah sentiasa tegak. Jangan membaca sambil berbaring. Hal ini akan menyebabkan otot-otot mata terpaksa bekerja lebih untuk menfokus pada bahan bacaan. Mata akan menjadi cepat letih dan tidak dapat bertahan lama untuk membaca.
  • Elakkan membaca ketika dalam kenderaan bergerak
    • Membaca ketika berada di dalam kenderaan bergerak serta keadaan jalan yang bengkang-bengkok dan berbonggol boleh menyebabkan sakit kepala dan mabuk. Hal ini kerana keupayaan mata untuk memfokus menjadi tidak stabil ketika membaca.
  • Kedudukan skrin komputer
    • Pastikan kedudukan komputer sama paras dengan mata dalam keadaan horizontal dan 30 cm dari mata.
  • Pencahayaan yang bersesuaian
    • Keletihan pada mata akibat penggunaan komputer berlaku apabila terdapat cahaya yang berlebihan dari sumber luar (matahari) dan lampu di dalam rumah atau pejabat.
    • Pastikan pencahayaan di sekeliling komputer separuh lebih malap daripada cahaya lampu yang digunakan di rumah dan pejabat.
  • Kurangkan silau
    • Bagi pemakai cermin mata, pastikan kanta anda mempunyai ‘Anti-Reflection Coating’ (Multicoating) untuk meminimakan kesan silau pada mata sekaligus mengurangkan stres pada mata.

Penting Dapatkan Rawatan Awal

Ibu bapa perlu mengenal pasti keadaan mata anak agar mereka boleh mendapat rawatan secepat mungkin.

Jika dibiarkan, ia boleh mendatang kesan buruk kepada perkembangan otak anak.

Seperti mana masalah penglihatan yang lain, pesakit yang ada mata malas sukar membaca dan memahami pelajaran.

Pesakit juga akan berdepan masalah menganggar jarak dan kurang penglihatan tiga dimensi kerana melihat dengan satu mata, lalu menyebabkan mereka senang mendapat kemalangan seperti ketika turun tangga atau melintas jalan, longkang dan kerap terhantuk kerana kesukaran untuk menganggar jarak.

Baca juga: Kalau Perempuan ‘Putus Haid’, Lelaki Pula ‘PADAM’. Ini Tanda Awal Kena Tahu – Dr Suhazeli

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: