Maksud Pendapatan / Gaji Kasar, Gaji Bersih, Gaji Pokok & Perbezaannya

Maksud Pendapatan / Gaji Kasar, Gaji Bersih, Gaji Pokok & Perbezaannya

Hari kemasukan gaji pasti menjadi waktu yang paling dinanti-nantikan bagi setiap orang yang bekerja. Sama ada duit gaji itu dipindahkan ke dalam akaun peribadi atau diberikan secara tunai, ia jelas memberikan kebahagiaan buat semua pekerja.

Kebiasaannya penjawat awam di pejabat kerajaan akan menerima gaji pada hujung bulan manakala pekerja swasta pula akan terima gaji pada pertengahan bulan.

Tidak kiralah bila pun gaji anda dibayar, jumlah pendapatan bulanan yang diperoleh iaitu gaji membawa maksud ganjaran yang dibayar atas sumbangan fizikal dan mental pekerja terhadap sesebuah syarikat atau organisasi.

Maksud Gaji Kasar Gaji Bersih Gaji Pokok
Kredit Foto : utusan.com.my

Dalam slip gaji yang diberikan, pasti akan tertulis potongan tertentu yang kita sendiri juga mungkin kurang faham tentangnya.

Mungkin pada awalnya anda mungkin terkejut apabila diberikan gaji yang kurang sedikit berbanding gaji yang dijanjikan ketika anda mula bekerja.

Oleh itu, anda perlulah fahami maksud gaji kasar, gaji bersih dan gaji pokok. Maklumat ini juga penting bagi yang ingin mengisi borang pada bahagian maklumat gaji bila diperlukan.

Tidaklah anda terkeliru nanti bila anda ingin isi borang penting pada masa akan datang.

Jom kita kenali maksud gaji kasar, gaji bersih, gaji pokok & perbezaannya.

Maksud Gaji Kasar Gaji Bersih Gaji Pokok
Kredit Foto ; rekemen.my

Gaji Kasar

Gaji kasar bermaksud gaji bulanan yang anda terima secara keseluruhan sebelum apa-apa pemotongan dilakukan.

Dengan erti kata lain, gaji kasar juga bermaksud gaji pokok yang ditambah dengan gaji kerja lebih masa (OT) serta elaun-elaun lain yang berkaitan.

Gaji Kasar = Gaji Pokok (gaji asas) + Elaun Bulanan (seperti Elaun sara hidup, elaun perjalanan dan sebagainya)

Jika kesemua ini dicampurkan, maka itulah gaji kasar anda dalam masa sebulan.  

Gaji Bersih

Gaji bersih pula ialah gaji yang sama seperti gaji kasar tetapi selepas potongan dibuat.

Biasanya majikan akan lakukan potongan gaji mengikut panduan undang-undang pekerja seperti :

  • potongan simpanan KWSP biasanya dalam 11%
  • potongan SOCSO sebagai bantuan kewangan sekiranya tercedera ketika sedang bekerja
  • potongan cukai pendapatan jika sudah layak dikenakan cukai
  • potongan EIS iaitu bantuan kewangan selama 6 bulan jika anda terpaksa diberhentikan kerja secara paksa kerana faktor kewangan syarikat.

Dengan erti kata lain, gaji bulanan yang masuk ke akaun bank itulah gaji bersih anda.

Gaji Bersih = Gaji Pokok + Elaun – Potongan (KWSP, SOCSO, Cukai pendapatan dan sebagainya)

Contoh slip gaji kerajaan
Contoh slip gaji swasta

Gaji Pokok

Berbeza dengan gaji kasar dan gaji bersih, gaji pokok adalah gaji asas tanpa apa-apa elaun atau dicampurkan dengan gaji lebih masa (OT).

Biasanya pegawai HR juga akan membuka tawaran gaji pokok sebelum anda bersetuju untuk bekerja dengan syarikat.

Begitulah perbezaan gaji kasar, gaji bersih dan gaji pokok bagi setiap gaji yang anda dapati setiap bulan.

Semoga dengan perkongsian ini, anda bolehlah bezakan dengan lebih mudah tentang perbezaan terma gaji untuk rujukan masa hadapan.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: