3 Kanak-kanak Dikhuatiri Lemas Mencari Kepah Ketika Air Pasang Besar
3 kanak-kanak dikhuatiri lemas ketika mencari kepah bersama keluarga di muara Sungai Kampung Mangkuk, Terengganu semalam, 8 Oktober 2021.
Ketiga-tiga mereka yang hilang ketika air pasang kira-kira jam 5.30 petang itu adalah Nurul Hasha Humaira Che Mohd Humaizi, 11 dan adik lelakinya Muhammad Aryyan Faheem, 7 serta seorang saudara mereka, Nur Amni Insyirah Saiful Tarmizi, 9.
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Setiu, Rosli Latif berkata sebelum kejadian, terdapat 3 orang dewasa 6 orang kanak-kanak sedang berada di dalam air untuk mencari kepah.
Baca juga: ‘Kubur Berdarah’ Di Senawang Sebenarnya Air Karat Bercampur Minyak
“Apabila air pasang dengan cepat, tiga individu dewasa tersebut hanya sempat menyelamatkan tiga kanak-kanak sahaja manakala tiga lagi gagal diselamatkan sebelum hilang dari pandangan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Setiu Rosli Latif.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat sedang dilakukan oleh pihak bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan penduduk kampung.
Sumber: BERNAMA
NOTA: Orang ramai juga diingatkan agar berjaga-jaga dan peka dengan fenomena air pasang besar yang dijangka melanda kawasan pantai barat Semenanjung pada pertengahan Oktober ini.
Apakah Fenomena Air Pasang Besar?
Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Zon Pantai, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Ir. Arman Mokhtar berkata, keadaan air pasang besar itu berlaku sekiranya terdapat pertembungan air pasang besar, ombak kuat, angin kencang dan hujan lebat.
Bermula September lalu, fenomena air pasang besar menyebabkan beberapa kawasan pantai di Malaysia mengalami banjir.
Ekoran fenomena itu, beberapa kawasan peranginan pantai dan kemudahan-kemudahan awam seperti medan selera dan kiosk ditutup, termasuk Pantai Kelanang, Pantai Baru Morib, Pantai Morib, Taman Harmoni Morib, Istana Bahagia Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Chunang dan Jeti Tanjung Sepat.
Penduduk yang tinggal berhampiran kawasan pantai sentiasa berwaspada dan berhati-hati serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa.
Baca juga: ‘Jalan Lengang, Macam Pulau Zombie’ – Wanita Kongsi Kisah Bercuti Di Langkawi