Kongsi LKM: Kongsi Lesen Kenderaan Motor Melalui Aplikasi MyJPJ
Kongsi LKM: Kongsi Lesen Kenderaan Motor Melalui Aplikasi MyJPJ
Untuk pengetahuan anda, kini pemilik kenderaan boleh kongsi Lesen Kenderaan Motor (e-LKM) melalui aplikasi MyJPJ kepada ahli keluarga, rakan atau individu lain yang dibenarkan oleh pemilik kenderaan.
Berikut dikongsikan info lebih lanjut mengenainya.
Kongsi LKM
Kongsi LKM adalah merupakan ciri terbaru yang diwujudkan di dalam aplikasi MyJPJ. Ia boleh digunakan bermula pada 2 Januari 2024.
Melalui ciri terbaru ini, ia membolehkan pemilik kenderaan bermotor berkongsi cukai jalan digital (e-LKM) mereka dengan mudah dengan rakan, keluarga atau individu lain yang mempunyai kebenaran untuk memandu kenderaan itu.
Fungsi ini mempunyai kod pengaktifan yang perlu diberikan kepada penerima e-LKM berkenaan untuk mengaktifkan perkongsian.
Pemilik lesen boleh menetapkan tempoh masa perkongsian, dan sistem juga akan menghapuskan rekod perkongsian sekiranya tidak diaktifkan dalam tempoh 24 jam.
Dengan adanya ciri terbaru ‘Kongsi LKM’ ini, ia akan memudahkan pemandu yang menggunakan kereta milik orang lain.
Berdasarkan dapatan kajian dan analisis statistik sepanjang tahun 2023, JPJ mendapati bilangan pemandu dan pemilik yang memilih digitalisasi semakin meningkat kepada 7.5 juta pengguna.
Bagaimanapun bagi pemandu dan pemilik kenderaan yang masih belum bersedia sepanjang tempoh interim pendigitalan tahun 2024, mereka masih boleh memilih LKM dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) fizikal.
LKM yang baru tidak perlu dilekatkan atau dipamerkan pada cermin kenderaan sepertimana keperluan Seksyen 20(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sebelum ini, sebaliknya ia disimpan mengikut kesesuaian orang awam.
BACA JUGA: MyJPJ | Cara Daftar Lesen Memandu (e-LMM) & Cukai Jalan Digital (e-LKM)
Cara Menggunakan Ciri ‘Kongsi LKM’ MyJPJ
Rujuk langkah-langkah dibawah untuk menggunakan ciri ‘Kongsi LKM’ MyJPJ:
PEMILIK
1. Pastikan anda telah memuat turun aplikasi MyJPJ.
2. Klik ‘Profil’ > ‘Lesen Kenderaan Motor’ > Pilih ‘No Pendaftaran Kenderaan’
3. Klik ‘Kongsi LKM’ > klik ‘+’ untuk kongsi kepada penerima baru
4. Masukkan nombor kad pengenalan penerima dan tempoh masa > Buat Pengesahan
5. Anda akan diberikan kod keselamatan untuk diberikan kepada penerima (individu yang anda ingin kongsikan)
PENERIMA
1. Pastikan anda telah memuat turun aplikasi MyJPJ.
2. Klik ‘Profil’ > Klik ‘Jana Semula’ & Pilih ‘No Pendaftaran Kenderaan’
3. Masukkan kod keselamatan yang dikongsikan oleh pemilik (kod ini hanya aktif selama 24 jam)
Maklumat Lanjut
Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, sila rujuk Facebook rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia: https://www.facebook.com/jabatanpengangkutanjalanmalaysia