Kepala Air: Selepas Sebelah Kaki, Badan Manusia Kini Ditemui
Ipoh: Selepas sebelah kaki, pasukan penyelamat dua pendaki wanita hilang yang dihanyutkan kepala air ketika mendaki kawasan Gunung Suku, Simpang Pulai di sini, semalam menemukan bahagian badan manusia dipercayai milik seorang daripada pendaki terbabit.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, bahagian badan berkenaan ditemukan dalam timbunan kayu pokok, 10.20 pagi tadi oleh satu daripada dua pasukan yang ditugaskan mencari mangsa.
Beliau berkata, bagaimanapun pada masa ini pihaknya belum dapat menentukan sama ada bahagian badan yang ditemukan hari ini berkaitan dengan bahagian kaki yang ditemukan semalam.
“Ia kerana bahagian badan terbabit dijumpai di lokasi yang berbeza dengan lokasi bahagian kaki yang dijumpai semalam. Penemuan badan itu hari ini adalah pada separuh bahagian atas (laluan air).
“Jadi kami masih tidak dapat memastikan sama ada kedua-dua anggota badan yang dijumpai adalah saling bersamaan atau tidak,” katanya kepada pemberita sewaktu ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dekat Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, di sini, hari ini.
Terdahulu, pasukan penyelamat menemukan kaki manusia dipercayai milik seorang dari dua pendaki wanita yang hilang itu, 5.05 petang semalam yang dijumpai 300 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat.
Kata Muhamad Shahrizal lagi, operasipada hari ini yang digerakkan bermula 9.10.pagi tadi menumpukan kepada kawasan laluan air sepanjang 800 meter.
Katanya, bagaimanapun keadaan cuaca yang tidak menentu di kawasan kejadian dilihat mungkin akan memanjangkan lagi tempoh usaha pencarian yang selanjutnya.
Mangsa yang hilang dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew, 46, masing-masing dari Cheras, Kuala Lumpur dan Klang, Selangor.
Sumber: Harian Metro