Tidak Kemaskini MySejahtera Bukan Kesalahan, Kompaun Perlu Dibatalkan
TIDAK KEMASKINI MYSEJAHTERA BUKAN KESALAHAN – DS ISMAIL SABRI YAAKOB
Tidak mengemas kini aplikasi MySejahtera bukan satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), dan tidak perlu dikompaun, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi laporan BERNAMA.
Kompaun yang telah dikeluarkan oleh mana-mana penguatkuasa atas kesalahan tersebut, perlu dibatalkan.
Pegawai penguatkuasa juga disarankan supaya tidak salah dalam membuat sebarang tafsiran berhubung SOP (prosedur operasi standard), yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan.
Sabtu lalu, dilaporkan seramai 29 pekerja syarikat minyak dan gas dilapor dikompaun RM2,000 setiap orang, manakala dua pekerja kilang memproses ayam dikenakan RM1,500 setiap orang, kerana tidak mengemas kini status kesihatan di aplikasi MySejahtera, ketika memasuki tempat kerja.
Walaupun perkara tersebut tidak menjadi kesalahan di bawah Akta 342, rakyat perlu berintegriti dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap aplikasi tersebut.
Ini kerana MySejahtera merupakan aplikasi dibangunkan kerajaan bagi membantu pengawasan penularan wabak COVID-19 di dalam negara, dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri.
Aplikasi ini bukan hanya untuk mengimbas sekiranya memasuki sesuatu tempat, tetapi lebih penting adalah melakukan kemas kini setiap hari, malah setiap masa sekiranya perlu bergantung kepada pergerakan serta aktiviti kita pada hari terbabit.
Baca juga: Cara Buat QR Code MySejahtera Untuk Rumah / Majlis
Bila Perlu Kemaskini MySejahtera?
Menurut KKM, pemilik MySejahtera perlu kemaskini status anda sekiranya :
- ada simptom atau
- ada sejarah perjalanan keluar negara atau
- ada kontak rapat kepada kes positif atau
- terlibat dalam perhimpunan ramai atau kluster.
Berikut adalah cara membuat kemaskini MySejahtera:
- Buka aplikasi MySejahtera
- Tekan butang Status COVID19
- Tekan butang Mula
- Jawab 6 soalan dan tekan butang Hantar
- Tekan butang Muat Semula
- Proses kemaskini MySejahtera selesai!
Sila rujuk panduan bergambar melalui infografik di bawah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.