Terkini: Kenyataan Penuh Berhubung Kelulusan CIMS MITI (3 Jun 2021)

Berikut kenyataan penuh Menteri Kanan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung CIMS yang dikeluarkan hari ini:

Kenyataan Media berhubung CIMS

  1. Kerajaan memandang serius terhadap situasi pandemik COVID-19. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membentangkan laporan semasa yang menunjukkan kes-kes positif semakin melonjak dan kapasiti sistem kesihatan awam semakin tertekan. Kerajaan senantiasa mengambil langkah-langkah untuk melindungi kesihatan dan menyelamatkan nyawa rakyat. Maka atas penilaian risiko yang dilakukan oleh KKM, Kerajaan telah mengambil keputusan untuk melaksanakan PKP 3.0, bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.
  2. Menyedari hakikat ini Majlis Keselamatan Negara telah membincangkan dengan semua kementerian dan agensi yang berkaitan mengenai sektor-sektor ekonomi dalam usaha Kerajaan melandaikan keluk pandemik COVID-19, dan pada masa yang memberi ruang kepada KKM sebagai circuit breaker untuk tempoh dua minggu.
  3. Maka pada 30 Mei 2021, Menteri Kanan, Pertahanan telah mengumumkan pelaksanaan total lockdown atau penutupan penuh melainkan sektor ekonomi perkhidmatan perlu, dilaksanakan susulan kenaikan mendadak kes harian COVID-19 sejak mutakhir ini. Dengan pelaksanaan PKP yang diumumkan ini, semua aktiviti ekonomi dan sosial adalah TIDAK DIBENARKAN kecuali bagi 17 senarai perkhidmatan perlu dengan kapasiti tenaga kerja dihadkan kepada 60%. Sektor-sektor yang dibenarkan untuk beroperasi oleh MKN meliputi sektor Pembuatan; Pertanian, Perikanan, Penternakan, Perladangan dan Komoditi; Pembinaan; dan Perdagangan Pengedaran.
  4. Ini bermakna pelbagai sektor ekonomi di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI), Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), Kementerian Kerja Raya (KKR) dibenarkan beroperasi dalam tempoh perlaksanaan PKP 3.0 ini.
  5. Menurut perangkaan dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) jumlah tenaga kerja di Malaysia pada hujung Februari 2021 berjumlah
    16.05 juta pekerja. Daripada jumlah ini hanya seramai 2.26 juta pekerja (14.13 peratus) yang bekerja di dalam sektor pembuatan, bahkan jumlah pekerja yang bekerja dalam sektor perkhidmatan adalah hampir dua kali ganda daripada jumlah pekerja sektor pembuatan iaitu 4.38 juta pekerja (27.38 peratus).
  6. Sidang khas MKN pada 31 Mei 2021 telah mengeluarkan kenyataan media bahawa permohonan baharu bagi kebenaran perjalanan untuk bekerja perlu dikemukakan semula melalui portal CIMS 3.0 yang diselaraskan oleh MITI dan melibatkan semua Kementerian yang mengawal selia 17 sektor perkhidmatan perlu yang telah dibenarkan beroperasi.
  7. Maka, soalan seterusnya adalah mengenai kebenaran perjalanan untuk bekerja yang perlu dikemukakan semula melalui portal COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 yang diselaraskan oleh MITI. MKN dalam satu kenyataan media pada 31 Mei 2021, memaklumkan surat kebenaran beroperasi bagi sektor perkhidmatan perlu dikeluarkan setelah mendapat pengesahan daripada kementerian-kementerian yang mengawal selia sektor berkenaan. Ini membuktikan bahawa surat kebenaran beroperasi hanya akan dikeluarkan oleh CIMS 3.0 setelah kementerian-kementerian yang mengawal selia sektor yang dibenarkan beroperasi memberi pengesahan kepada MITI.
  8. Seperti kenyataan media MITI bertarikh 31 Mei 2021, beberapa sesi libat urus dengan pelbagai Kementerian dan agensi telah diadakan bagi menyelaras dan melicinkan lagi proses pengesahan Kementerian masing-masing ke atas syarikat-syarikat yang dikawal selia oleh kementerian-kementerian berkenaan yang boleh diberikan kebenaran untuk beroperasi.
  9. Sehingga kini, 15 Kementerian telah menggunakan sistem CIMS
    3.0 bagi memudahkan proses penilaian permohonan kebenaran untuk beroperasi di bawah sektor masing-masing. Setelah kementerian- kementerian mengesahkan permohonan-permohonan berkenaan, syarikat yang berkenaan boleh terus mencetak surat kebenaran beroperasi melalui CIMS 3.0.
  10. Namun, terdapat juga beberapa Kementerian seperti MAFI dan yang menggunakan sistem kelulusan kebenaran bekerja yang diselaras oleh MAFI. Kementerian Pengangkutan turut menggunakan sistem dalaman Sistem SMILE (Sistem Maklumat Industri Logistik) bagi tujuan yang sama. Maka, surat kelulusan untuk beroperasi bukan sahaja dikeluarkan oleh MITI setelah mendapat pengesahan daripada kementerian-kementerian yang menggunakan CIMS 3.0, tetapi ada juga yang dikeluarkan oleh Kementerian lain yang pada masa ini dan terbukti sistem yang telah diwujudkan adalah berkesan untuk kumpulan sasaran mereka.
  11. Bank Negara Malaysia juga bertanggungjawab di atas surat kebenaran beroperasi untuk institusi kewangan dan perbankan. MITI bukan penentu tunggal dalam memutuskan samada sesuatu sektor peniagaan dianggap sebagai perkhidmatan penting atau sebaliknya.
  12. Sehingga jam 7.30 pagi ini (3 Jun 2021), 586,308 dengan 10.2 juta pekerja telah berdaftar dengan CIMS. Daripada jumlah ini surat kebenaran beroperasi yang telah dicetak melalui CIMS hanya 128,150 yang melibatkan 1.57 juta pekerja di seluruh Malaysia.
  13. MITI juga ambil maklum tentang aduan beberapa pihak yang mendakwa bahawa CIMS 3.0 telah dibolosi dan mendapat kelulusan walaupun berada di bawah sektor yang tidak dibenarkan beroperasi. MITI terbuka kepada sebarang bentuk aduan mahupun kritikan mengenai sistem CIMS 3.0 demi menjamin ketelusan dan keberkesanan pelaksanaan sistem ini. MITI melalui unit penguatkuasaan bersama dengan kerjasama agensi penguatkuasa yang lain akan terus memantau dan mengawal pelaksanaan SOP PKP 3.0.
  14. Kita harus jelas dan memiliki keyakinan untuk mendepani apa jua rintangan. Kita semua kini berada di medan perang untuk berhadapan dengan musuh yang tidak kelihatan.
  15. This is not a zero-sum game. Kita bertanggungjawab untuk melindungi nyawa dan membela nafkah kehidupan. Nyawa dan kehidupan adalah keutamaan yang tiada tara bandingnya.
  16. We need a whole of nation approach. As the Government plans and implements this circuit breaker, to make it happen, we need the whole of society – the people, the workers, the industries – to come aboard, to do their part to make this a success.
  17. Kita semua harus bersatu dan berpadu tenaga untuk bersama dalam peperangan ini sebagai satu pasukan yang padu dan utuh. Laksanakan peranan dan InShaa Allah kita akan menang !

*Sumber: Azmin Ali

https://azminali.com/kenyataan-yb-dato-seri-mohamed-azmin-ali-menteri-kanan-menteri-perdagangan-antarabangsa-dan-industri-berhubung-cims/
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: