Semua Sekolah, Tadika & Taska Dalam Zon Merah Sarawak Ditutup Mulai Hari Ini
Semua Sekolah, Tadika dan Taska Dalam Zon Merah Ditutup Selama 14 Hari Berkuatkuasa 20 April
Susulan daripada pengumuman Ketua Menteri Sarawak berkaitan penutupan semua sekolah dalam zon merah berkuatkuasa 20 April 2021 pada hari ini, kesemua tadika dan taska juga turut ditutup dalam tempoh yang sama.
Demikian menurut kenyataan media rasmi oleh Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak (KWKPK), Dato Sri Fatimah Abdullah yang telah dikeluarkan bertarikh 19 April 2021.
Difahamkan semua sekolah yang berada di kawasan ZON MERAH DITUTUP selama 14 hari dan meneruskan pembelajaran dari rumah (PdPr) bagi mengekang penularan COVID-19.
Setakat laporan petang semalam, Sarawak mempunyai 18 Zon Merah iaitu Sibu, Miri, Bintulu, Kapit, Kuching, Meradong, Julau, Serian, Samarahan, Beluru, Sarikei, Mukah, Matu, Subis, Saratok, Selangau, Kanowit dan Belaga.
Dalam kenyataan media KWKPK juga dinyatakan penutupan tadika dan taska dalam zon merah melibatkan 2,518 buah tadika dan 213 buah taska.
Fatimah menerusi kenyatannya memaklumkan sekiranya terdapat taska yang mempunyai anak-anak ‘frontliners’, taska berkaitan perlu mengemukakan permohonan untuk beroperasi bagi memberikan perkhidmatan kepada anak- anak ‘frontliners’ sahaja dan permohonan hendaklah dikemukakan ke Bahagian Pembangunan Awal Kanak-kanak KWKPK.
Menerusi kenyataan beliau juga, Fatimah memaklumkan semua tadika dan taska perlu mematuhi arahan ini dalam usaha untuk mengekang penularan pandemik COVID-19.