Rakyat Malaysia Boleh Rentas Negeri Jika Dah Penuhi 6 Syarat Ini – KKM
Dengan ketibaan bulan Ramadhan tak lama lagi, ramai yang tertunggu-tunggu kebemaran rentas negeri sebab dah lama tak balik kampung.
Setiap hari dalam sidang media MKN pun, tentu akan ada orang tanya :
“Bila kami boleh rentas negeri?”
Hampir setiap kali juga jawapannya adalah sama iaitu:
“Bergantung kepada penilaian risiko oleh KKM, ” jawab Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri dalam sidang media baru-baru ini.
Tahukah kita apakah itu penilaian risiko?
Di sini kami kongsikan apakah syarat yang ditetapkan oleh KKM untuk memberi kebenaran rentas negeri.
6 Faktor Penilaian Untuk Kebenaran Rentas Negeri
Secara ringkas, penilaian risiko ditentukan dengan melihat situasi jangkitan semasa dan kebarangkalian penularan jangkitan menjadi lebih teruk atau sebaliknya.
6 faktor yang menjadi indikator KKM ialah:
- Situasi kes harian termasuk kes yang sudah sembuh dan dibenarkan pulang
- Trend dan kadar kebolehjangkitan
- Situasi semasa iaitu kadar kematian dan jumlah kes kematian
- Keupayaan katil dan wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital
- Situasi semasa petugas kesihatan yang dijangkiti dan
- Ujian saringan yang dijalankan di lapangan, saringan penyakit seperti influenza (ILI), jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dan persampelan prapembedahan serta kemasukan ke wad.
KKM mengkaji semua data dan fakta sebelum menasihat atau mencadangkan kepada Jawatankuasa Teknikal untuk diputuskan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara.
Cadangan kebenaran rentas negeri juga bergantung kepada 6 faktor ini.
KKM membuat penilaian risiko ini dari semasa ke semasa. Situasi semasa menunjukkan kes baharu dalam trend penurunan walaupun tidak konsisten, namun masih terlaku awal.
Memandangkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan baru saja berjalan, aktiviti kesihatan awam adalah paling berkesan untuk melandaikan keluk jangkitan.
Jika kepatuhan yang tinggi kepada SOP yang ditunjukkan oleh kita semua ketika ini berterusan, tidak mustahil kemeriahan balik kampung untuk menyambut Aidilfitri akan dirasai tahun ini.
Kita berusaha dan berdoa, kepada Tuhan kita berserah.
Jadi, diharap semua rakyat Malaysia dapat mematuhi SOP agar keenam-enam faktor risiko dapat dikurangkan. Barulah kita semua boleh balik kampung dan rentas negeri ok!
*Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)