Kakak Tertikam Adik Hingga Maut Direman 6 Hari

Semalam kita dikejutkan dengan berita menyedihkan di mana pergaduhan adik-beradik menyebabkan seorang kakak telah menikam adiknya sehingga meninggal dunia.

Hari ini dilaporkan remaja perempuan yang dipercayai membaling pisau ke arah adik lelaki hingga menyebabkan kematian ditahan reman enam hari mulai hari ini hingga 25 Oktober depan.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Normadiana Mamat di Mahkamah Majistret Johor Bahru.

Remaja berusia 18 tahun yang belajar di sebuah sekolah di Gelang Patah itu dibawa ke mahkamah pada 9.25 pagi.

Remaja itu kelihatan sugul manakala tiada ahli keluarga hadir ke mahkamah.

Difahamkan ahli keluarganya sibuk berurusan di rumah mayat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) sehingga selesai proses bedah siasat mangsa.

Semalam, media melaporkan mangsa berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia pada 2.30 petang dipercayai tertusuk pisau dibaling kakaknya di Kampung Ulu Pulai, Ulu Choh di sini.

Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham akibat berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah.

Polis menerima panggilan berhubung kejadian pada 2.15 petang semalam.

Hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada pergaduhan adik-beradik.

Ibu mangsa mendakwa mangsa bergaduh dengan kakaknya berikutan berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah.

Kakak mangsa mengaku membaling pisau ke arah mangsa selepas dipersenda ketika masuk ke rumah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber: Harian Metro, Hilmizudin Daud | BERNAMA

Baca juga: Rupanya Banyak Kelebihan Tukar ‘Professional Mode’ Di Facebook

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: