Johor Cuti 27 Nov Sempena JDT Ke Final Piala Malaysia

blank

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor mengumumkan cuti peristiwa pada Ahad, 27 November sempena kejayaan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) mara ke final Piala Malaysia 2022 pada Sabtu ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi dalam satu kenyataan di akaun media sosialnya sebentar tadi.

“Menjunjung Kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor yang telah memberi perkenan bagi meraikan kejayaan ini.

“Menjunjung Kasih DYAM Tunku Mahkota Johor yang menjadi inspirasi kepada Orang Muda Johor dan sentiasa memberi sokongan kepada atlet-atlet kita.

“Kerajaan negeri Johor juga mengumumkan hari Ahad, 27 November 2022 sebagai cuti peristiwa untuk Johor sempena perlawanan bola sepak ini.

“Ia juga bagi menghargai sokongan padu yang sentiasa diberi oleh rakyat Johor serta penyokong tegar skuad Harimau Selatan,” kata Onn Hafiz.

blank

JDT akan bertemu Selangor FC di pentas final selepas menepati ramalan mara ke final TM Piala Malaysia 2022 setelah menewaskan Sabah FC 3-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan mara dengan agregat 4 -1 hasil kemenangan 1-0 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Likas, Kota Kinabalu, 15 November lalu.

Sementara itu Selangor FC berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia dengan keputusan agregat 3-2 selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 1-0 dalam aksi separuh akhir kedua penuh dramatik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada Selasa.