#UbahJadualSPM Trending Di Twitter, Calon & Ibu Bapa Mengadu Jadual SPM Terlalu Padat
JADUAL SPM 2021 TERLALU PADAT?
Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengumumkan jadual rasmi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Ujian Pencapaian Bahasa Antarabangsa (UPBA) Tahun 2021 pada 17 November 2021 yang lalu.
Selaras dengan pengumuman KPM sebelum ini, tarikh peperiksaan SPM, STAM dan UPBA ini telah dianjakkan ke bulan Februari – Mac 2022 berikutan pandemik yang melanda negara.
Susulan pengumuman jadual tersebut, sesetengah pihak mengadu bahawa jadual SPM yang dimuktamadkan ini terlalu padat sehingga menimbulkan keresahan calon-calon dan ibu bapa.
Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik turut menyifatkan jadual SPM tahun ini “padat, berterabur dan tidak meraikan hari cuti berbanding sebelum ini “, seperti yang dinyatakan dalam sebuah hantaran beliau di Facebook bertarikh 20 November 2021.
Perkara ini juga menjadi trending di Twitter dengan tanda pagar #UbahJadualSPM.
Rata-rata, calon memohon KPM untuk mempertimbangkan semula jadual ini kerana jadual tersebut dikatakan tidak ada rehat (selang hari) antara peperiksaan.
Selain itu, hari Jumaat dan Ahad juga turut diadakan peperiksaan, di mana ia mungkin akan menyukarkan sesetengah pihak untuk mengejar masa menunaikan solat Jumaat dan sebagainya.
Berikut dikongsikan antara keluhan-keluhan di media sosial berkenaan jadual SPM yang baru diumumkan oleh KPM ini:
Isu kesihatan mental seperti stres turut dibangkitkan oleh ibu bapa, terutamanya setelah beberapa kes terjun bangunan tinggi semakin banyak terjadi kepada remaja dan kanak-kanak.
Sementara itu, Dr Maszlee turut menyentuh isu Peperiksaan Setara Standard yang dilaksanakan bermula 21 November hingga 3 Disember 2021.
Menurut beliau, penilaian kesetaraan dan pelbagai pelaporan di minggu-minggu awal sekolah dibuka. Bukan sekadar ianya membebankan guru yang ramainya telah lesu upaya, tidak bermotivasi dan memerlukan tiupan semangat, malah ia menjadikan para guru menghadapi tekanan yang melampau.
Apa kata anda?
Adakah anda bersetuju dengan jadual SPM yang telah dikeluarkan ini?
Perincian mengenai waktu peperiksaan/ujian ini boleh di muat turun melalui laman sesawang Lembaga Peperiksaan di artikel berikut: Tarikh SPM Terkini & Jadual Peperiksaan Lengkap (Mulai 22 Feb)