7 Pendekatan KPM Menyelesaikan Isu Beg Berat – Menteri Pendidikan
Isu beg berat yang kembali hangat dibincangkan sejak akhir-akhir ini telah mendapat perhatian KPM dan susulan itu, Menteri Pendidikan telah mengumumkan 7 pendekatan untuk menangani isu berkenaan.
Dalam sebuah kenyataan media terkini, Dr Radzi Jidin telah mengumumkan langkah-langkah yang akan dilaksanakan oleh KPM secara berfasa seperti berikut:
7 Pendekatan KPM Menyelesaikan Isu Beg Berat
- Penyediaan Lokar (Fasa 1 RM37.3 Juta Peruntukan)
- Penyusunan semula jadual waktu
- Buku latihan (maksimum 2 buah / subjek)
- Buku aktiviti dan buku kerja (Guna Buku Aktiviti KPM)
- Buku teks digital
- Pendekatan PdP
- Kerjasama JAKIM (Pakai Baju Sama)
Berikut adalah perincian bagi setiap langkah yang dinyatakan di atas.
#1 PENYEDIAAN LOKAR
Buat kali pertama, KPM akan menyediakan lokar di sekolah rendah secara berfasa dengan Fasa 1 adalah bagi murid Tahap 1 di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi.
Pelaksanaan itu akan membabitkan sebanyak 10,662 kelas serta 323,186 murid, dengan peruntukan 2022 bagi pelaksanaan Fasa 1 dianggarkan berjumlah RM37.3 juta.
Fasa 2 penyediaan lokar pula akan diperluas kepada murid Tahap 2, iaitu Tahun 4, 5 dan 6 di sekolah rendah beroperasi secara dua sesi, yang dijangka dilaksanakan pada 2023.
Bagi sekolah satu sesi, murid akan menyimpan buku di dalam laci meja di bilik darjah masing-masing.
#2 PENYUSUNAN SEMULA JADUAL WAKTU
Bagi pendekatan kedua ini, KPM akan melaksanakan jadual waktu yang mengehadkan jumlah mata pelajaran diajar di sekolah, kepada 3 atau 4 subjek sehari.
Hanya subjek tertentu akan diajar dalam satu-satu minggu itu. Ini bagi membolehkan jumlah buku teks atau buku aktiviti yang dibawa ke sekolah, dapat dikurangkan.
Bagi melaksanakan langkah ini, pihak sekolah perlu mengambil kira pelaksanaannya dengan melihat aspek pemberatan subjek, ketersediaan guru dan sesi persekolahan.
Selain itu, sekolah akan diberi kelonggaran untuk menyediakan jadual waktu mengikut kitaran minggu.
#3 MENGEHADKAN BUKU LATIHAN
Berkaitan buku latihan, KPM menetapkan bilangan buku latihan untuk sesuatu subjek itu tidak melebihi dua buku pada satu-satu masa dan tebal setiap buku latihan berkenaan tidak boleh melebihi 80 halaman.
#4 BUKU AKTIVITI KPM
Mengenai aspek buku aktiviti dan buku kerja pula, murid hanya dibenar menggunakan buku aktiviti disediakan KPM.
Menurut Menteri Pendidikan, buku kerja hanya boleh digunakan sebagai bahan rujukan atau ulang kaji pada luar waktu PdP di sekolah.
Ini bagi mengelakkan murid daripada membawa pelbagai buku berkenaan yang secara tidak langsung menambah berat beg mereka.
#5 BUKU TEKS DIGITAL
Bagi pendekatan berkaitan buku teks digital, KPM menumpukan penerbitan baharu buku teks dalam format digital yang dilaksanakan secara berterusan.
Sebanyak 692 judul buku teks digital telah dimuat naik dalam pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMA).
Murid yang mempunyai peranti boleh mengakses buku teks digital bagi memudahkan pembelajaran mereka.
Berkaitan: Cara Download Buku Teks Digital Sekolah Rendah & Menengah KPM
#6 PENDEKATAN PDP
Langkah seterusnya untuk mengatasi isu beg berat adalah dari aspek pelaksanaan PdP di sekolah, di mana guru digalakkan menggunakan pendekatan PdP berpusatkan murid – iaitu pembelajaran bertema, modular, berasaskan projek, simulasi amali atau terbeza.
Pendekatan pembelajaran ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada buku teks semata-mata dalam PdP, selain mampu meningkatkan keberkesanan dan mewujudkan persekitaran PdP lebih menyeronokkan.
#7 KERJASAMA DENGAN JAKIM
KPM sudah dan akan terus berbincang dengan JAKIM bagi memastikan murid diberi kelonggaran untuk ke sekolah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) selepas sesi persekolahan dengan memakai pakaian seragam sekolah.
Ini secara tidak langsung membolehkan murid tidak lagi perlu membawa pakaian kelas KAFA ke sekolah dan menukarnya untuk mengikuti kelas itu selepas waktu persekolahan.
Sumber: Kenyataan Media Menteri Pendidikan (KPM), 6 Mac 2022