Dijaga ‘Abah’ Sejak Usia 3 Bulan, Ini Kisah Di Sebalik Kejadian Viral Semalam
Kejadian seorang bapa yang memeluk dan menjadi ‘penahan’ agar anaknya berdiri semula selepas rebah dalam kad semalam mengundang rasa terharu orang awam khususnya di media sosial.
Kisah Nik Mohamad Adhar tular di media sosial selepas dia disambut bapa saudara, Abdul Aziz Ya’acob, 60, ketika rebah pada Majlis Perbarisan dan Kawalan Kehormatan Sempena Sambutan Jubli Emas ke-50 dan Tamat Latihan Kursus Asas Sains KPDNHEP di Maktab Penjara Malaysia, Kajang, semalam.
Orang ramai tambah terharu apabila mengetahui bahawa Nik Mohamad Adhar adalah anak saudara yang dijaga oleh bapa saudaranya itu sejak kematian ibu bapa.
Menurut laporan media, Nik Mohamad Adhar menganggap bapa saudaranya itu dan isteri, Rosmawati Ismail, 53, sebagai ibu bapanya sendiri kerana mereka menjaganya sejak berusia tiga bulan.
Menceritakan kejadian itu, Abdul Aziz berkata, dia menghadiri perbarisan itu selepas dijemput anak saudaranya itu.
“Dia hubungi saya, memaklumkan jemputan berkenaan dan beritahu orang lain semua bawa ibu dan bapa, jadi saya takut dia kecil hati saya hadir majlis itu.
MStar melaporkan bahawa 2-3 hari sebelum hari kejadian, Nik ada menghubunginya dan mengadu keadaan dirinya yang demam.
Namun Abdul Aziz tidak menyangka perkara paling dirisaukan benar-benar berlaku apabila Nik pengsan dan rebah.
Difahamkan waktu berkawad sesi pertama, isterinya ada memberitahu keadaan Nik yang nampak tak larat. Tetapi, Nik tetap kata nak cuba lagi dan buat sampai habis.
“Saya beritahu dia, tahan sedikit lagi ini baru kawad, belum lagi alam pekerjaan yang sebenar,” katanya.
Katanya, dia juga memberitahu pasukan perubatan supaya tidak mengeluarkan anak saudaranya itu dari perbarisan.
“Saya hendak ajar dia erti semangat, erti tanggungjawab. Ketika bekerja kita tidak boleh main-main, kita kena beri 100 peratus komitmen.
“Namun apabila dia jatuh sekali lagi, saya tidak memapahnya kerana risau kesihatannya, dia kemudian diusung keluar. Saya bangga dengannya,” katanya.
Mengulas serba sedikit tentang pengalaman membesarkan anak saudaranya yang sudah dianggap seperti anak kandungnya itu, Abdul Aziz berkata bahawa Nik adalah seorang yang pendiam. Akhlaknya baik dan dia juga sangat rajin.
“Dekat rumah pun Nik sangat rapat dan manja dengan saya. Dia selalu datang peluk dan cium pipi saya. Biasanya susah anak lelaki nak buat macam tu, tapi Nik sememangnya tak segan nak menzahirkan rasa kasih sayang pada saya,” ujar Abdul Aziz.
Kisah ini turut dikongsikan beliau melalui Malaysia Hari Ini (MHI) pada hari ini, Jumaat, 22 Julai 2022.
“Pesanan saya kepada orang ramai di luar sana supaya hargai, sanjungi, santuni dan layan ibu bapa kita dengan baik selagi mereka masih ada kerana kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa,” kata Nik Mohd Adhar.