Tarikh Israk Mikraj 2023 & Cuti Umum Negeri Di Malaysia

Israk Mikraj adalah merupakan peristiwa penting bagi umat Islam. Peristiwa ini perlu didalami oleh umat Islam untuk mengukuhkan lagi akidah sebagai umat Islam. 

Peristiwa Israk Mikraj

Secara ringkasnya, ia adalah sebuah hari untuk memperingati peristiwa penting yang berlaku di bulan Rejab ini iaitu peristiwa paling agung dalam sejarah Islam yang digelar sebagai peristiwa Israk Mikraj Nabi Muhammad SAW.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra’, ayat 1 yang bermaksud: “Maha Suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), Yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui ”.

Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku pada bulan Rejab iaitu 27 Rejab setahun sebelum hijrah menurut jumhur ulama.

Ia juga berlaku setelah kewafatan isteri baginda Rasulullah S.A.W, Saidatina Khadijah R.A. dan bapa saudaranya, Abu Talib.

Peristiwa Israk dan Mikraj belaku dalam satu malam dimana boleh dibahagikan kepada dua fasa :

FASA 1 : Israk – Perjalanan Nabi SAW menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.

FASA 2: Mikraj – Perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh.

israk mikraj

ISRAK

Nabi Muhammad S.A.W dibawa oleh Malaikat Jibril a.s. dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dengan menunggang Buraq. Sebelum baginda memulakan perjalanannya, hati baginda dibersihkan oleh Malaikat Jibril a.s. dengan air suci Zam Zam.

Sepanjang perjalanan apabila sampai tempat-tempat yang tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat.

Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

  • Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
  • Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah.
  • Baitul-Laham (tempat Nabi ‘Isa A.S. dilahirkan).

Semasa dalam perjalanan, baginda telah melalui pelbagai peristiwa antaranya ialah baginda melihat Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang.

Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

Diringkaskan kisah ini Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada Buraq.

Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum. Rasulullah S.A.W terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah S.A.W memilih susu lalu diminumnya.

Kata Jibrail: Baginda membuat pilihan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

MIKRAJ

Peristiwa Mikraj pula bermula daripada Masjid Al-Aqsa kemudian baginda diangkat ke langit dengan menaiki tangga daripada syurga.

Rasulullah SAW bersama Malaikat Jibril A.S naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Baginda menaiki daripada langit pertama hingga ke sepuluh dan disetiap langit baginda bertemu dengan para-para nabi dan melalui pelbagai peristiwa antaranya Baginda dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70 ribu orang yang masuk syurga tanpa hisab.

Di langit Kesepuluh (tanpa ditemani malaikat Jibril) Rasulullah SAW dapat menyaksikan Allah SWT dengan matanya sendiri, lalu baginda sujud.

Dari pertemuan itu, baginda menerima wahyu dan perintah dari Allah s.w.t. iaitu penerimaan ibadah solat. Yang mana ketika itu, baginda diperintahkan solat sebanyak 50 waktu.

Kemudian dikurangkan menjadi 10 waktu. Akhirnya, dikurangkan sebanyak 5 waktu. 5 waktu yang kini kita lakukan setiap hari iaitu Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak.

SELEPAS MIKRAJ

Setelah itu, baginda pulang ke Masjidil Haram. Kemudian, baginda menyampaikan wahyu dan perintah Allah solat 5 waktu itu kepada umat di Mekah.

Ketika itu ada yang percaya dan ada yang tidak percaya sehingga ada yang murtad dari Islam.

Tetapi, sahabat baginda Saidina Abu Bakar As-Siddiq apabila dikhabarkan kepadanya tentang peristiwa ini, beliau sedikit pun tidak ragu bahkan membenarkan malah lebih membenarkan sekiranya ada yang lebih hebat lagi dari peristiwa Isra’ dan Mikraj ini.

Sejak itu beliau diberi gelaran ‘As-Siddiq’ yang memberi maksud ‘Yang Membenarkan’.

Sumber: Bahagian Dakwah JAKIM

Tarikh Sambutan Israk Mikraj 2023 Di Malaysia

Tarikh sambutan Israk dan Mikraj 2023 adalah pada 18 Februari 2023 (Sabtu), iaitu bersamaan dengan 27 Rejab 1444H.

Perkara ini dinyatakan dalam Takwim 2022 Miladiah / 1444-1445 Hijriah yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, berdasarkan Panel Pakar Falak JAKIM.

Hari Israk Mikraj termasuk dalam Hari Kelepasan Umum Negeri, bermaksud hanya sesetengah negeri sahaja yang mengambil cuti bagi hari tersebut iaitu:

  • Kedah
  • Negeri Sembilan
  • Perlis
  • Terengganu

Sila rujuk jadual Hari Kelepasan Am Negeri 2023 yang dilampirkan di bawah:

israk mikraj
 JADUAL HARI KELEPASAN AM NEGERI 2022

Sumber : http://www.kabinet.gov.my/bkpp/index.php/perkhidmatan/hari-kelepasan-am

Pengajaran & Kesimpulan Peristiwa Israk Mikraj

Kesimpulannya, peristiwa ini berlaku untuk baginda menerima perintah solat 5 waktu. Solat 5 waktu adalah diwajibkan untuk semua umat Islam. Ketika hari penghitungan kelak, solat inilah yang akan disoal dahulu sebelum yang lainnya. Ini menunjukkan betapa pentingnya solat itu dalam kehidupan seharian kita.

israk mikraj
Tarikh-tarikh penting kalendar Islam 2023

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: