5 Cara Berkesan Hilangkan Tahi Lalat Pada Pakaian Lama, Tuala & Telekung

5 CARA HILANGKAN TAHI LALAT PADA PAKAIAN. BERKESAN!

Bila kemas balik baju-baju lama, mesti ada yang perasan timbul tahi lalat pada baju, tudung, tuala, atau telekung.

Biasanya ia terjadi disebabkan lembapan setelah sesuatu barang tersimpan lama di suatu tempat yang jarang dianginkan.

Selalunya, pakaian bayi yang lama pun akan mudah naik tahi lalat sebab ada kesan susu yang kita tak nampak dan masih tersembunyi.

Jadi, apa nak buat sebab kebanyakan pakaian ni pun biasanya masih elok lagi, kan?

Jom cuba 5 cara hilangkan tahi lalat pada pakaian yang dikongsikan ini.

5 Cara Berkesan Hilangkan Tahi Lalat Pada Pakaian Lama, Tuala & Telekung

1. CUKA

Cuka adalah bahan asid semulajadi yang selamat dan berkesan untuk membunuh kulat serta menghilangkan baunya yang hapak.

Ia juga sesuai untuk anda yang mempunyai kulit sensitif atau mereka yang ingin mencuci pakaian bayi.

Caranya, campurkan 1 cawan cuka putih ke dalam 1 baldi air dan rendamkan selama sekurang-kurangnya 1 jam.

Kemudian, cuci bahagian berkulat dengan menggunakan sabun pencuci / detergen. Gunakan air yang sedikit hangat semasa memberus dan membilas pakaian supaya kulat lebih mudah ditanggalkan.

Jika ingin digunakan pada fabrik lain seperti sofa atau langsir, masukkan larutan cuka ini ke dalam botol spray dan semburkan terus pada bahagian yang bertahi lalat.

Kemudian gosokkan dengan berus yang sesuai dan bilas seperti biasa dengan sabun detergen.

2. BAKING SODA

Mungkin ramai tak tahu, baking soda bukan saja digunakan untuk buat kek, tapi ia juga salah satu agen pembersih yang bagus.

Selain menggunakan cuka, anda boleh menggunakan baking soda sebagai salah satu cara menghilangkan kesan tahi lalat pada fabrik.

Ianya efektif untuk digunakan dalam bentuk pes atau secara terus. Seperti cuka, ia juga boleh menyerap bauan yang keluar daripada kulat.

Cara pertama adalah dengan membuat pes baking soda. Campurkan sedikit air pada baking soda dan terus sapukan pes ini pada bahagian baju yang berkulat. Biarkan seketika dan kemudian beruskan seperti biasa.

Jika kulat masih belum tanggal, anda boleh menambahkan sedikit cuka putih pada serbuk baking soda tersebut. Kedua-dua bahan ini sering digunakan bersama kerana ia berkesan membunuh spesis kulat yang berbeza.

Melalui pemerhatian, cara ini adalah yang paling berkesan dan digemari oleh ramai ibu-ibu!

3. JUS LEMON DAN GARAM

Perahkan sebiji lemon dan campurkan jus lemon tersebut dengan sedikit garam sehingga ia menjadi pes.

Gunakan pes ini untuk disapukan pada bahagian yang bertahi lalat.

Kemudian, beruskan seperti biasa. Anda juga boleh merendamkan pakaian dalam larutan lemon dan garam ini dalam air suam selama 1 jam. Selepas itu, bilaskan seperti biasa.

4. PELUNTUR

Peluntur (bleach’) atau lebih dikenali sebagai Clorox adalah sebuah kompaun yang sangat kuat dan berkesan untuk membunuh kulat pada pakaian.

Caranya, larutkan sedikit peluntur bersama air dan gunakan berus untuk menanggalkan tahi lalat tersebut. Taburkan sedikit sabun pencuci serbuk dan ulangi langkah ini beberapa kali sekiranya ia masih belum tanggal.

Seeloknya, gunakan air yang sedikit hangat untuk membilas dan mencuci pakaian tersebut. Sekiranya pakaian adalah daripada fabrik lembut dan sensitif, rendamkannya dalam larutan peluntur selama sekitar 20 minit, mengikut sukatan pada produk.

Sekarang ni, peluntur dalam bentuk spray juga ada dijual untuk memudahkan kita mencuci dan menghilangkan kulat. Bolehlah cuba spray sedikit pada kawasan yang ada kesan tahi lalat tu.

tahi lalat pakaian

Tapi anda kena hati-hati sebab penggunaan peluntur berlebihan boleh melunturkan warna pada pakaian.

5. VANISH

Selain peluntur, satu lagi produk boleh anda gunakan adalah serbuk atau cecair ‘Vanish’ yang boleh dibeli di pasaran. Ia sesuai digunakan pada pakaian putih mahupun yang berwarna.

Caranya, sapukan ‘Vanish’ pada bahagian fabrik yang ada kesan tahi lalat, dan biarkan seketika sekitar 5-10 minit. Kemudian, beruskan sedikit dan bilas. Selepas itu, cuci seperti biasa dengan sabun pencuci.

JEMURKAN BAWAH CAHAYA MATAHARI

Selepas mencuci pakaian yang terkena kulat, jemurkannya di bawah sinaran matahari untuk kesan yang lebih efektif.

Untuk mencegahnya daripada berulang, keringkan dahulu pakaian yang berpeluh atau lembap sebelum dimasukkan ke dalam bakul baju kotor.

Baju yang terkena susu atau makanan juga boleh direndamkan secepatnya supaya kotoran lebih senang ditanggalkan.

Jadi, jangan buang dulu baju-baju lama tu, cuba dulu tips ini ya!

Baca juga:

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: