Fenomena Istiwa’ A’dzam: Semakan Arah Kiblat Yang Tepat Di Rumah
Fenomena Istiwa’ A’dzam – Tahukah anda, semakan arah kiblat boleh dilakukan setiap tahun bagi memastikan arah kiblat di rumah anda berada di posisi yang tepat?
Semakan kiblat ini boleh dilakukan sempena fenomena Istiwa’ A’dzam yang berlaku setiap tahun. Nak tahu apa itu fenomena Istiwa ‘A’dzam dan cara semak kiblat yang betul?
Mari teruskan membaca perkongsian di bawah.
ISTIWA’ ADZAM
Fenomena Istiwa’ A’dzam adalah apabila Matahari akan berada tepat di atas bandar Mekah di mana terletaknya Kaabah yang merupakan kiblat bagi umat Islam di seluruh dunia.
Fenomena ini telah berlaku pada 16 Julai 2022, tepat jam 05:26 petang mengikut waktu Malaysia. Ia merupakan kali kedua berlaku di dalam tahun 2023 selepas yang pertama pada 28 Mei 2023 yang lalu.
Lakaran bayang-bayang objek tegak pada ketika dan tarikh itu boleh dijadikan sebagai panduan bagi menentukan atau mengesahkan arah kiblat secara semulajadi.
Istiwa’ utama Matahari atau Istiwa A’zam di Kaabah merupakan fenomena Matahari akan berada di titik zenith ketika istiwa’.
Peristiwa ini akan berlaku dua kali dalam setahun apabila nilai sudut istiwa’ Matahari akan bersamaan dengan nilai latitud Mekah (Kaabah).
Apabila Istiwa utama Matahari berlaku, bayang-bayang objek tegak di tempat lain akan menunjukkan arah ke Kaabah.
Inilah masa yang sesuai untuk menandakan dan membuat semakan arah kiblat.
Fenomena ini merupakan kaedah tradisional falak untuk menyemak dan menentukan arah kiblat walau di mana sahaja pada tarikh tersebut.
Maka sesiapa yang ingin menyemak arah kiblat di kediaman, pejabat atau dimana-mana premis, bolehlah melakukannya pada tarikh dan masa tersebut.
Tarikh Fenomena Istiwa’ A’dzam
Tarikh Istiwa azam umumnya berlaku pada TARIKH YANG SAMA SETIAP TAHUN, iaitu 28 Mei dan 16 Julai. Jika tahun tersebut berlaku tahun lompat, ia jatuh pada tarikh 29 Mei dan 17 Julai.
Panduan Semakan Arah Kiblat Dengan Tepat
BAHAN / PERALATAN YANG DIPERLUKAN:
- Kayu lurus (Sebaiknya yang ada tapak @ boleh berdiri tegak)
- Masking Tape
- Pen Marker
TATACARA:
Untuk membuat semakan kiblat, anda boleh tegakkan tiang yang lurus dengan menggunakan sesiku di ruang yang terdedah kepada bayang matahari pada waktu Fenomena Istiwa’ A’dzam ini berlaku.
Bayang yang terhasil daripada tiang adalah merujuk kepada arah kiblat yang tepat. Kiblat boleh ditandakan dengan masking tape atau marker.
NOTA: Pastikan waktu yang tepat (Dail 1051 untuk semakan jam) atau rujuk Waktu Standard Malaysia SIRIM.
Selesai membuat penandaan arah kiblat, maka bolehlah menyemak semula arah kiblat yang sedia ada atau membuat semakan arah kiblat di aplikasi telefon pintar masing-masing – tertakluk kepada keadaan fungsi sistem GPS di telefon dan gangguan magnet disekitarnya.
Jika terdapat perbezaan kiblat di masjid / surau, sila rujuk Pegawai Falak, Jabatan Mufti Negeri untuk maklumat lanjut.
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut tentang Istiwa Adzam, sila rujuk pautan berikut: Facebook National Metrology Institute of Malaysia.