Moratorium Automatik: Tiada Faedah Terkompaun & Penalti Lewat Bayar
Kuala Lumpur: Bank tidak akan mengenakan faedah terkompaun dan caj penalti lewat bayaran bagi moratorium enam bulan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Ketika menegaskannya, beliau berkata kerajaan membangkitkan perkara itu dan telah mendapat persetujuan bank-bank dalam pertemuan mereka baru-baru ini.
“Buat laporan serta aduan sekiranya pihak bank bertindak menaikkan faedah terkompaun serta caj penalti (ke atas moratorium itu),” katanya pada sidang media hari ini.
Isu Faedah Moratorium Maybank Yang Tular
Dalam sebuaj kenyataan lain, Maybank menjelaskan bahawa pakej bantuan bayaran balik yang disediakan pihaknya menawarkan ansuran bulanan paling rendah.
Dalam kenyataan dikeluarkan, Maybank berkata, pihaknya sedia maklum mengenai kesukaran yang dihadapi oleh pelanggannya dalam tempoh pandemik ini.
“Lanjutan tempoh pembayaran di bawah pakej bantuan bayaran balik Maybank, sememangnya didatangkan dengan ansuran bulanan lebih rendah.
“Ini kerana kami memahami bahawa walaupun tempoh moratorium berakhir, sebilangan pelanggan kami berkemungkinan masih menghadapi beberapa cabaran dalam membuat pembayaran bulanan penuh mereka.
“Oleh itu, ansuran bulanan yang lebih rendah ditawarkan untuk meringankan lagi beban kewangan pelanggan dengan jumlah pembayaran bulanan yang lebih terkawal.”
Menurutnya, pelanggan Maybank bagaimanapun mempunyai pilihan untuk memilih jangka masa yang lebih sesuai untuk mereka.
Perincian mengenai pilihan ini juga sudah dimasukkan dalam halaman Soalan Lazim Skim Bantuan Kewangan Covid-19 Maybank yang terdapat di maybank2u.com.my.
Maybank menjawab mengenai isu tempoh lanjutan yang ditawarkan kepada pelanggan pinjaman sewa belinya yang tular hari ini dan didakwa menekan rakyat.
Menerusi gambar tangkapan skrin yang tular itu menunjukkan dua pilihan tersedia kepada pelanggan bagi pinjaman sewa beli iaitu pilihan pertama adalah penangguhan ansuran bulanan selama tiga bulan dengan lanjutan tempoh bayaran selama 12 bulan.
Bagi pilihan kedua pula, ia menawarkan penangguhan bayaran bulanan selama enam bulan dengan lanjutan tempoh bayaran sehingga 24 bulan.
Perkara ini juga menimbulkan pelbagai spekulasi dan persoalan kepada orang ramai terutama mereka yang ingin memohon moratorium melalui pakej Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan (Pemulih) yang diumumkan semalam kerana khuatir akan terbeban dengan tempoh pembayaran balik yang terlalu panjang.
Kebanyakan Bank Masih Mengemaskini Perincian Moratorium PEMULIH
Menurut tinjauan kami di media sosial, kebanyakan bank masih mengemaskini perincian moratorium automatik ini.
Jadi, apa yang tertera di laman web sekarang mungkin adalah moratorium yanh ditawarkan di bawah pakej bantuan terdahulu iaitu PEMERKASA+.
Untuk maklumat yang sahih, sila berhubung terus dengan pihak bank masing-masing atau tunggu pengumuman rasmi daripada Bank tersebut.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, konsep pelaksanaan moratorium automatik yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam adalah sama seperti mana dilaksanakan tahun lalu.
*Sumber: Harian Metro