Disyaki Ambil Duit RM4, Pelajar 11 Tahun Maut Dibelasah Rakan ‘Senior’

Menyedihkan! Seorang penghuni sebuah rumah anak yatim berusia 11 tahun disahkan maut dibelasah rakannya di sebuah kompleks rumah anak yatim dan miskin di Kuantan, semalam.

Laporan Astro Awani menyatakan bahawa mangsa telah disepak, dicekik dan dihempas ke lantai sehingga tidak sedarkan diri di surau kompleks rumah anak yatim dan miskin berkenaan hanya kerana disyaki mengambil duit sebanyak RM4.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, siasatan awal mendapati mangsa telah dibawa tiga pelajar lain juga penghuni asrama berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri ke rumah penyelia asrama.

Penyelia asrama yang mengesyaki mangsa mengalami sawan membawa mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia dan pengadu membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Menurut Utusan Malaysia, kejadian berlaku lebih kurang jam 4 petang dan mangsa dikenali sebagai Muhammad Hafdan Qurbani Azhar merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Soi.

Beliau berkata, kejadian disedari penyelia asrama yang juga pengadu berusia 35 tahun selepas mangsa yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dibawa tiga penghuni lain, termasuk suspek.

“Pada waktu itu mangsa masih bernyawa dan pada awalnya disyaki diserang sawan, lalu pengadu bersama seorang lagi penyelia asrama segera membawanya ke HTAA untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Sejurus tiba di hospital, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata, pengadu kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu untuk tindakan lanjut.

“Berdasarkan siasatan awal, kejadian berlaku ketika mangsa bersama tujuh rakan, termasuk suspek yang dilantik sebagai ketua ditugaskan untuk melakukan gotong-royong membersihkan surau.

“Ketika di surau itu, suspek dipercayai mencekik dan menghempas mangsa ke lantai sehingga mangsa tidak sedarkan diri.

Susulan itu, seorang pelajar berumur 16 tahun ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Menurut Wan Mohd Zahari, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk proses bedah siasat dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

*Sumber: Astro Awani, Utusan Malaysia

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: