Cuaca Diramal Mendung & Hujan Pada Hari Raya Aidilfitri – MetMalaysia

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan cuaca mendung di seluruh negara dengan kemungkinan hujan di negeri pantai barat Semenanjung Malaysia dan barat Sabah pada Hari Raya Aidilfitri minggu depan.

Ketua Pengarahnya, Jailan Simon berkata, pada sebelah petang pula dijangka hujan di kawasan pedalaman negeri-negeri pantai timur Semenanjung.

“Secara keseluruhannya, dijangka keadaan cuaca yang serupa berlanjutan hingga raya ketiga,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Umat Islam dijangka menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 13 Mei ini.

Baca juga: Tarikh Pengumuman Hari Raya Aidilfitri 2021 (1442 H) Di Malaysia

Jailan berkata, Malaysia kini berada dalam fasa peralihan monsun yang mengakibatkan hujan dan ribut petir.

Menurutnya, cuaca di negara ini akan bertambah baik menjelang pertengahan bulan ini susulan permulaan fasa Monsun Barat Daya.

Katanya, kejadian ribut petir dan hujan lebat dijangka berkurangan dan kebanyakan negeri akan mengalami lebih banyak bilangan hari tanpa hujan ketika Monsun Barat Daya.

“Namun akan berlaku hujan lebat pada awal pagi di pantai barat Semenanjung akibat garis badai dari Selat Melaka sekali sekala,” katanya.

Baca juga: Rentas Daerah Tidak Dibenarkan Di Seluruh Negara Mulai 10 Mei – 6 Jun

Beliau berkata, mulai pertengahan bulan ini juga kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia dijangka menerima hujan pada paras purata antara 100 mm hingga 350 mm kecuali di Melaka dan Johor yang dijangka menerima hujan sedikit iaitu bawah purata antara 100 mm hingga 150 mm.

“Kuching, Samarahan, Sri Aman, Bentong, Sarikei dan Sibu di Sarawak dijangka menerima hujan sedikit bawah purata antara 150 mm hingga 200 mm manakala di Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang dijangka menerima hujan pada paras purata antara 150 mm hingga 400 mm,” katanya.

Sabah pula dijangka menerima hujan pada paras purata antara 100 mm hingga 350 mm.

Beliau juga membayangkan kemungkinan Malaysia akan dilanda jerebu rentas sempadan pada hujung Julai atau awal Ogos jika kebakaran hutan di negara jiran tidak terkawal.

Sumber: Bernama

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: