[VIDEO] Cara Pakai Samping: Tutorial Mudah Kurang 1 Minit Dah Siap!
Cara Pakai Samping : Tutorial Mudah Kurang 1 Minit Dah Siap! ~ “Walaupun banyak kali dah pakai, banyak kali juga lupa!”
Begitulah antara luahan popular oleh para jejaka yang perlu memakai samping pada hari tertentu mereka. Pemakaian samping untuk lelaki adalah merupakan pelengkap baju Melayu. Sekurang-kurangnya, samping akan dipakai sekali setahun semasa tibanya Hari Raya.
Terdapat pelbagai jenis ikatan samping yang boleh digayakan untuk menambah seri penampilan anda.
Nak tahu pelbagai jenis ikatan samping dan bagaimana cara membuatnya, jom baca tutorial cara pakai samping dengan mudah yang dikongsikan di bawah.
BACA JUGA: Kalori Makanan Hari Raya – Jom Ketahui Kalori Makanan Yang Anda Makan!
Sejarah Mengenai Samping
Tahukah anda, cara pemakaian samping adalah merupakan salah satu cara untuk membezakan darjat/pangkat seseorang pada zaman dahulu.
Namun kini, cara pemakaian samping seringkali dikaitkan dengan status seorang lelaki, sama ada sudah berkahwin ataupun masih bujang.
Biasanya lelaki yang belum berkahwin akan memakai samping dua jari dari atas paras lutut. Lelaki yang sudah berkahwin pula sebaliknya.
Bukan itu sahaja, pemakaian samping juga berkait rapat dengan warisan budaya masyarakat Melayu serta mempunyai falsafahnya tersendiri termasuk bertujuan melindungi aurat selain tanda kehormatan diri.
Pemakaian samping sesuai dengan falsafah prinsip agama Islam iaitu membawa erti aurat bagi lelaki sehingga ke paras lutut. .
BACA JUGA: Doa Lailatul Qadar & Amalan 10 Malam Terakhir Ramadan
Jenis Ikatan & Cara Pakai Samping
1. Ikatan Lingkup
Samping jenis ikatan lingkup ini biasanya dipadankan dengan pemakaian baju melayu biasa ataupun baju melayu songket.
Cara pakai samping jenis ikatan ini sangat mudah berbanding dengan ikatan yang lain kerana ia tidak perlukan lilitan mahupun potongan yang susah. Lebih kurang macam nak pakai kain pelikat untuk solat je.
Cara-cara:
- Tarik samping hingga ke bahagian dada dan pastikan bahagian bawah samping berada di bawah paras lutut. Samping hendaklah berada di tengah badan anda.
- Lipatkan samping di bahagian kiri terlebih dahulu dan masukkan ke bahagian dalam. Ulang langkah ini untuk lipatan ini untuk bahagian kanan.
- Seterusnya, gulung bahagian atas samping hingga ke paras pusat.
- Untuk dapatkan hasil yang kemas, tutup gulungan samping bahagian atas dengan lilitan bengkung.
- Kemaskan baju dan samping.
2. Ikatan Moden Ala Johor
Seperti namanya, samping jenis ikatan moden ala Johor ini memang sesuai sangat dipakai bersama baju melayu tradisional Johor iaitu Baju Melayu Telok Belanga.
Cara-cara:
- Lipat bahagian atas samping masuk ke dalam. Anggaran lipatan ke dalam mestilah dengan memastikan samping tidak terlalu singkat apabila dipakai nanti. Pastikan panjang samping berada sedikit diatas perut dan labuhnya hingga berada di atas lutut.
- Anda boleh cuba ukur terlebih dahulu sebelum memakainya.
- Setelah ukurannya sesuai, sarungkan samping ke badan anda.
- Kemudian, tarik samping sehabisnya ke arah kanan anda.
- Pastikan apabila samping ditarik habis ke kanan, kepala kain songket berada betul-betul tengah pada bahagian badan anda.
- Pegang dan tahan pada lipatan di kanan badan. Kemudian lipat samping terus ke kiri badan.
- Jika lipatan samping melebihi sisi kiri badan, maka haruslah ditarik dan dilipat samping ke dalam bahagian belakang badan.
- Tarik samping bahagian hadapan dari belakang masukkan ke bahagian belakang badan.
- Ubah dan selesaikan sehingga lipatan samping di bahagian hadapan akan betul-betul berada pada sisi kiri badan. Dalam masa yang sama juga, kepala kain samping mestilah terletak tegak di tengah badan.
- Mulakan dengan lipatan kecil dahulu dan pastikan lipatan sekata dari hadapan dan belakang.
- Mula dengan lipatan yang lebih besar sehingga anda rasa lebih selesa. Lipatan ini secara keseluruhannya akan menghasilkan samping yang tidak menampakkan tenunan kain di bahagian dalam.
- Akhir sekali, pastikan samping terletak di atas perut atau pinggang dan labuhnya pula terhad pada paras lutut sahaja.
3. Ikatan Teruna Mencari Jodoh
Cara pakai samping ikatan teruna ini lebih kurang dengan ikatan lingkup. Bezanya ialah, kedudukan pada bahagian kain terbuka.
Cara-cara:
- Pastikan kepala kain samping berada dekat hujung.
- Setelah itu, tarik kepala kain samping tersebut untuk dilipat ke arah berlainan. Pastikan ketat.
- Pada sisi yang sama, ukur 2 jengkal dari atas (tengah-tengah samping) dan tarik kain ke atas.
- Gulung bahagian atas samping dan jangan lupa pusing ke tengah. Kepala kain mestilah berada di tengah.
4. Ikatan Kembung
Biasanya samping jenis ikatan kembung ini sering digayakan oleh pengantin lelaki semasa hari pernikahan masyarakat Melayu.
Cara-cara:
- Sarungkan samping ke badan.
- Pastikan sambungan samping (berjahit) berada di bahagian hujung.
- Tahan nafas dan tanda bahagian samping untuk diikat menggunakan tangan anda. Pastikan ia ketat agar kelihatan kemas.
- Lipat bahagian samping dengan simpulan corak bunga. Jangan lepas nafas lagi tau.
- Jangan lupa ketatkan dan kemaskan lipatan corak bunga tersebut.
- Gunakan bengkung untuk menambah kekemasan. Gunakan pin sekiranya perlu.
5. Ikatan Anak Raja Lima
Samping jenis ikatan anak raja lima ini sering dikaitkan dengan kerabat diraja. Pada masa kini, walaupun bukan kerabat diraja, anda juga boleh mencubanya!
Cara-cara:
- Sarungkan kain samping ke badan anda. Pastikan badan anda berada di tengah-tengah samping.
- Kemudian, susun dan lipat samping ke arah bawah dan kemaskan lapisan bertingkat.
- Selepas itu, anda boleh ambil bengkung dan kemaskini ikatan sampin pada bahagian pinggang supaya cara pakai sampin anda betul.