Cara Kira Pencen Bulanan Yang Akan Diterima Mengikut Gaji Akhir

CARA KIRA PENCEN BULANAN

Mungkin ramai penjawat awam yang nak bersara pilihan tahun 2023 ini.

Untuk yang bakal bersara nanti, tahu tak macam mana nak kira pencen bulanan yang bakal diterima?

Ini cara kira Pencen Bulanan yang perlu kita tahu supaya tak keliru nanti.

Cara Kira Pencen Bulanan

Kaedah perkiraan pencen dan faedah persaraan adalah bergantung kepada tempoh perkhidmatan (di dalam bulan) dan gaji pokok terakhir anda.

Jadi untuk kira pencen bulanan yang bakal diterima nanti, kena ada 2 maklumat berikut:

  • gaji akhir (pokok)
  • tempoh bulan perkhidmatan (terhad kepada 360 bulan perkhidmatan)

FORMULA PENGIRAAN PENCEN

Formula pengiraan pencen adalah seperti di bawah:

1/600 x Gaji akhir (pokok) x Tempoh bulan perkhidmatan yang boleh dimasuk kira ** terhad hanya 360 bulan sahaja

cara kira pencen bulanan

Contoh Cara Pengiraan Pencen

CONTOH 1

Encik Rahim telah berkhidmat selama 30 tahun 2 bulan di dalam perkhidmatan awam.

Beliau akan bersara wajib mencapai umur 56 tahun pada 10.1.2019.

Gaji pokok terakhirnya ialah RM3396.14.

Macam mana nak kira pencen Encik Rahim?

  • Tempoh perkhidmatan : 362 bulan
  • Gaji pokok akhir: RM3396.14

Untuk kiraan pencen, ianya terhad kepada tempoh maksimum 30 tahun atau 360 bulan sahaja.

Maka, kiraan pencen Encik Rahim ialah:

1/600 x 360 bulan x RM3396.14 = RM2037.68

CONTOH 2

  • Gaji pokok (akhir) = RM3,500
  • Tempoh Bulan Perkhidmatan = 320 bulan

Formula: 1/600 x Gaji akhir (pokok) x Tempoh bulan perkhidmatan 1/600 x RM3,500 x 320 = RM1,866.66

Jadi, pencen bulanan ialah RM1,866.66

Baca juga: Tarikh Bayaran Pencen 2021 Untuk Pesara Kerajaan (Jadual Bulanan)

Sampai Bila Akan Terima Pencen?

Jumlah ini akan dibayar setiap bulan, sepanjang hayat, selagi masih menjadi warganegara Malaysia dan selagi bebas dari menjalani hukuman penjara / mati.

Pencen yang dibayar oleh Kerajaan selama ini ialah occupational pension iaitu pembayaran pencen yang tidak berasaskan caruman.

Dengan kata lain, anggota perkhidmatan awam yang memilih skim pencen tidak lagi mencarum dan tiada lagi potongan gaji yang dibuat.

Selain itu, anda juga layak menerim ganjaran tertentu dan gantian cuti rehat seperti di bawah:

Syarat Bersara Awal (Pilihan)

Permohonan untuk bersara awal atas pilihan sendiri boleh dilakukan dengan terma dan syarat mengikut Seksyen 12 Akta 227/239 berikut (2021):

  • anggota tetap yang telah disahkan dalam jawatan dan diberi taraf berpencen;
  • berumur tidak kurang daripada 40 tahun pada tarikh agensi itu diswastakan;
  • mempunyai tempoh perkhidmatan yang boleh diambilkira tidak kurang daripada 10 tahun;
  • layak dibayar ganjaran pada tarikh persaraan/penswastaan
  • pencen dibayar pada umur 45 tahun bagi anggota perempuan atau 50 tahun bagi anggota lelaki, kecuali;
    • Pegawai Perkhidmatan Bomba (Gred KB11/KB10)
    • Pegawai Polis (dari Gred Y14 hingga Y7) atau
    • Pegawai Penjara (dari Gred KX12 hingga KX6)
    • Jururawat Hospital Mental

Baca juga: Semakan Penyata Pencen Online Pesara Kerajaan 2021 & Kenaikan 2%

Pencen Terbitan

Pencen bulanan yang terbit disebabkan oleh kematian pegawai / pekerja/ pesara, yang dibayar kepada orang tanggungan pegawai/ pekerja/ pesara  seperti mana yang diperuntukkan oleh Undang-Undang Pencen yang berkaitan.

Ini bermaksud, jika anda adalah waris kepada penjawat awam, anda layak menerima pencen terbitan dengan syarat berikut:

  • Balu atau duda;
  • Anak.

Dengan syarat bahawa hal bayaran kepada seseorang duda, pegawai perempuan yang mati itu mesti berada dalam perkhidmatan pada atau selepas 1hb Julai 1980.

Pembahagian syir:

  • Balu/duda – 2 syir
  • Setiap anak – 1 syir

Cara Pengiraan:

  • 1/600 x jumlah genap bulan perkhidmatan yang boleh dimasukira x gaji yang akhir diterima, tertakluk kepada maksimum sebanyak tiga per lima daripada gaji yang akhir diterimanya; atau
  •  Bagi tempoh perkhidmatan yang kurang daripada 120 bulan (10 tahun), formula pencen terbitan adalah seperti berikut: 1/5 x gaji akhir
  •  Tidak kurang daripada RM720.00 sebulan sekiranya tempoh perkhidmatan yang dimasukira bersamaan atau melebihi 300 bulan.

Maklumat Lanjut Tentang Jenis-jenis Persaraan

Untuk makluman lanjut tentang cara kira pencen dan jenis-jenis persaraan, anda boleh merujuk info berikut:

  1. Persaraan Paksa Dibawah Seksyen 10 Akta 227/239
  2. Persaraan Di Atas Kehendak Kerajaan Atau Menteri Di bawah Seksyen 11 Akta 227/239
  3. Persaraan Pilihan Dibawah Seksyen 12 Akta 227/239
  4. Persaraan Kerana Penswastaan Agensi Kerajaan Dibawah Seksyen 10(5)(b), 12 dan 12A/13 Akta 227/239
  5. Faedah Penamatan Perkhidmatan Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: